suria

Tarek Sekat Aksi Cemerlang Simpson Untuk Layak Ke Final

PETALING JAYA: Juara bertahan Tarek Momen dari Mesir menerima tentangan sengit untuk mara ke final buat kali ketiga selepas 2010 dan 2012 dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2013 di sini, Sabtu.

Dalam perlawanan separuh akhir di pusat membeli-belah 'The Curve', Mutiara Damansara di sini, Tarek terpaksa bekerja keras untuk menundukkan pemain dari pusingan kelayakan, Chris Simpson dari England.

Tarek, pemain nombor 10 dunia, diberi saingan hebat dalam lima set oleh Simpson sebelum mencapai keputusan 6-11, 11-7, 9-11, 11-9 dan 11-5.

"Saya menjangka perlawanan ini bukan mudah tetapi tidak sangka ianya begitu sengit sekali. Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat mengawal tekanan dengan agak baik," kata Tarek selepas pertarungan selama 69 minit itu.

Pada 2010, Tarek kalah kepada pemain negara Mohd Azlan Iskandar pada final tetapi menebus kekalahan itu tahun lepas dengan mengalahkan rakan senegara Mohamed El Shorbagy.

Pada final esok, Tarek akan menentang pemenang antara pilihan utama Peter Barker dari England dan Borja Golan dari Sepanyol.

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Barker, yang menang set pertama 11-9, mengalami kecederaan hidung selepas terkena raket Golan ketika mendahului 3-1 pada set kedua.

Berikutan kecederaan itu, pengarah kejohanan, K. Sivanesan memutuskan supaya menangguhkan perlawanan itu sehingga 9 pagi esok.

Perlawanan akhir lelaki itu dijadual bermula pukul 3 petang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Gusti Kembali Ke Olimpik

Artikel Lain