suria

Badminton: Chong Wei Sedih Rashid Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton dunia no.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sedih dengan isu perletakan jawatan jurulatih Rashid Sidek.

Tiga tahun lalu, beliau merasai perasaan yang sama ketika Misbun Sidek meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dan pada Khamis, seorang lagi jurulatih kesayangan Chong Wei membuat keputusan mengejut meninggalkan skuad kebangsaan kerana tidak gembira dengan perubahan yang dilakukan BAM sejak diambil alih pimpinan baharu, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Aliff .

Pemain berusia 30 tahun itu meminta pengurusan BAM untuk mengkaji semula perancangan agar jurulatih tidak meninggalkan persatuan.

"Saya sangat sedih dan hati saya sakit. Berita ini sangat mengejut. Lepas satu, satu mereka meninggalkan saya disebabkan masalah dengan pengurusan," jelasnya ketika dihubungi di Tokyo pada Khamis.

"Rashid adalah seorang jurulatih yang berdedikasi dan telah lama berkhidmat dengan BAM.

"Beliau telah menghasilkan keputusan yang baik dan saya telah banyak belajar daripadanya. Pemain lain seperti Chong Wei Feng dan Liew Daren juga menunjukkan peningkatan yang baik dibawah kendaliannya.

"Rashid tidak akan membuat keputusan mengejut sekiranya tidak menghadapi tekanan daripada pengurusan...saya tahu apa yang berlaku beberapa minggu sebelum ini. Kami telah bercakap mengenainya.

"BAM sentiasa membuat perubahan dan setiap kali berlaku, seorang atau dua jurulatih akan pergi.

"BAM tidak memberi penjelasan kenapa Misbun meninggalkan persatuan tiga tahun lalu (2010), tetapi saya harap mereka ada jawapan mengenai perletakan jawatan Rashid ini," katanya.

Chong Wei berharap BAM mampu memilih orang yang sesuai untuk menguruskan pemain dan jurulatih.

"Ia sangat penting untuk melantik orang yang sesuai kerana kami sentiasa menghadapi masalah yang sama.

"Ada sesuatu yang tidak kena dan saya harap BAM mengkaji kembali keputusan yang dibuat. Misbun telah pergi, begitu juga Rashid dan sekarang saya hanya bersama Tey Seu Bock," katanya.

Pada Khamis, Rashid telah meletakkan jawatannya sebagai jurulatih lelaki kebangsaan menerusi notis satu bulan surat yang dihantar kepada pejabat BAM.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan