LANGKAWI: Pelumba Jepun, Kohei Yamamoto mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Asia pertama menjuarai edisi keempat Cabaran Lumba Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2013.Biarpun hanya menduduki tangga keempat pada peringkat kelima dan terakhir pada Sabtu, pencapaian itu sudah cukup buat pelumba pasukan Specialized Racing Team itu untuk mengekalkan jersi kuning, sekali gus dinobatkan juara LIMBC 2013. Selepas perlumbaan hari i yang melibatkan 10 pusingan di atas trek 1.6km, Yamamoto, yang mendahului kedudukan sejak peringkat ketiga, mencatatkan masa terkumpul 10 jam sembilan minit dan 21 saat.Pelumba Sweden, Emil Lindgren (Giant Pro XC Team) di tempat kedua dengan catatan masa 10:12:03s manakala pelumba Perancis, Maxime Marotte (BH Brsuntour KMC) di tempat ketiga dengan catatan 10:20:10s.Pada peringkat kelima, juara LIMBC 2012, Fabien Giger dari Switzerland (Giant Pro XC Team) muncul pemenang dengan catatan masa 34 minit 14.420 saat manakala Lindgren di tempat kedua (34:14.657s) dan pelumba Afrika Selatan Rourke Croeser (Kargo Mountain Bike Team) di tempat ketiga dengan catatan masa 34:16s.Dalam kategori wanita, juara bertahan Lea Davison dari Amerika Syarikat berjaya mengekalkan kejuaraan dengan catatan masa keseluruhan 9:40:02s.Tempat kedua milik pelumba Poland, Maja Wloszczowska (Giant Pro XC Team) di tempat kedua dengan catatan 9:45:57s manakala Eva Lechner dari Itali di tempat ketiga dengan catatan masa 9:51:11s.Juara peringkat kelima menjadi milik Wloszczowska dengan catatan masa 26:21.342s diikuti Davison (26:21.350s) dan Nathalie Schneitter dari Switzerland dengan masa 26:23s.Perlumbaan di kawasan pantai bermula agak lambat disebabkan hujan lebat.Yamamoto berkata beliau menghadiahkan kejuaraan buat rakan sepasukan, Burry Stander yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Januari lepas."Kejayaan ini juga saya tujukan kepada ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan. Sepanjang perlumbaan ini, saya hanya memberi tumpuan kepada kayuhan tanpa memikirkan tekanan daripada pelumba lain," kata Yamamoto kepada pemberita selepas perlumbaan itu.Katanya, beliau akan kembali semula tahun depan untuk mempertahankan kejuaraan itu.Dalam pada itu, pelumba wanita negara Masziyaton Mohd Radzi daripada pasukan Kedah SBS Giant Team menduduki tempat ke-11, sekali gus merupakan pelumba tempatan terbaik.Bagi Davison, beliau gembira kerana menjadi pemenang jersi merah jambu buat kali kedua walaupun menyifatkan perlumbaan ini merupakan cabaran paling sukar atas faktor cuaca yang tidak menentu.Katanya, dia akan kembali pada LIMBC tahun hadapan untuk cuba mempertahankan jersinya dimilikinya untuk kali ketiga berturut-turut. - BERNAMA