suria

Zaqhwan Akui Bukan Mudah Kendali Jentera Moto2

SEPANG: Masalah suspensi jentera menghalang Mohd Zaqhwan Zaidi untuk mempamerkan aksi baik pada saingan kelayakan Moto2 di pentas Kejuaraan Grand Prix Dunia (MotoGP) Malaysia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu.

Zaqhwan yang beraksi sebagai pelumba gantian pasukan Technomag CarXpert sekadar menghuni kedudukan ke-32 setelah mencatat masa terbaik 2:10.995s.

Meskipun begitu, Zaqhwan tetap berpuas hati dengan keputusan yang dicapai memandangkan ini adalah kali pertama dia menggunakan jentera Moto2 yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan jentera SuperSports 600cc yang digunakan di pentas Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC).

“Banyak yang perlu saya pelajari dalam tempoh yang singkat pada minggu ini. Jentera Moto2 sangat sukar untuk dikendalikan, tetapi saya berpuas hati kerana masih mampu mencatat masa yang agak baik.

"Saya masih ada masa untuk mencuba mendapatkan pelarasan yang lebih baik terutama dari segi suspensi hadapan jentera supaya dapat melalui selekoh dengan lebih pantas. Sesi pemanas badan sebelum perlumbaan akhir akan digunakan dengan sebaiknya,” jelas Zaqhwan.

Mengulas tentang sasaran pada perlumbaan akhir, Zaqhwan berkata: "Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, cukuplah jika saya dapat menamatkan perlumbaan.

"Namun, saya tetap akan mencuba yang terbaik dan kalau boleh, saya mahu mengekori pelumba-pelumba Asia lain termasuk Azlan Shah Kamaruzaman sebagai persediaan saya untuk menghadapi saingan ARRC selepas ini.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain