Sebastian Vettel. Foto AFP SEORANG juara sebenar tidak muncul hanya sekali dan bergantung kepada nasib dan tuah.Juara yang sebenar muncul dari bakat semulajadi dan keupayaan yang luar biasa. Juara dunia Formula 1 empat kali, Sebastian Vettel telah pun memperlihatkan keupayaan luar biasa dan bakat semulajadi sebagai bakal juara masa depan di hari pertama dia memegang stering bernilai lebih setengah juta ringgit itu pada tahun 2007 di Grand Prix Amerika Syarikat.Dia hanya muncul secara tidak dijangka untuk mengantikan pemandu BMW Sauber, Robert Kubica yang tercedera.Tetapi sebagaimana yang disebut tadi, juara tidak muncul begitu sahaja. Mereka muncul dengan menyerlah sekali. Vettel menamatkan perlumbaan pertamanya itu di tempat kelapan untuk mencatat sejarah sebagai pemandu termuda dalam F1 yang berjaya memperolehi mata.Sejak itu para pemerhati sukan ini telah pun membuat ramalan yang suatu hari nanti pemandu muda dari Heppenheim, Jermany itu bakal menjadi juara dunia.Yang tidak mereka jangkakan sama sekali ialah dia bukan sahaja benar-benar menjadi juara tetapi muncul juara sebanyak empat kali.Gelaran terbarunya diperolehi pada Ahad, 27 Oktober di Grand Prix India sekaligus menjadikan Vettel, 26, bukan sahaja juara dunia termuda untuk merangkul kejuaraan sebanyak empat kali tetapi juga sebagai pemandu keempat dalam sejarah untuk mencatatkan kemenangan yang keempat.Selain Vettel, tiga lagi juara dunia yang telah mencatatkan kemenangan dunia lebih atau sebanyak empat kali ini Michael Schumacher, Juan Manuel Fangio dan Alain Prost.Tetapi apa yang mencuri perhatian dunia ialah Vettel mampu melakukannya pada usia yang begitu muda. Fangio berusia 45 tahun ketika dia merangkul kejuaraannya yang keempat, Prost pula 38 dan Schumacher pada usia 32 tahun.Vettel cuma baru berusia 26 tahun - usia di mana Prost baru memenangi Grand Prixnya yang pertama.Anak kepada seorang tukang, Vettel yang dilahirkan pada 1987 memulakan karier lumbanya menerusi go-karts ketika baru berusia tiga tahun.Menjelang 1995 Vettel telah menyertai siri perlumbaan go-karts.Kemunculannya dalam dunia perlumbaan pada usia yang sebegitu muda telah mencuri perhatian Red Bull dan mereka tanpa melengahkan masa lagi telah mengambilnya di bawah program pemandu muda pada tahun 2000.Tiga tahun selepas bakatnya diasah di bawah bimbingan Red Bull, Vettle telah disenaraikan untuk berlumba dalam Formula BMW pada 2003.Pada siri tersebut, Vettel telah memenangi 18 daripada 20 perlumbaan yang menyaksikan hubungannya dengan pembuat kereta dari Jerman itu semakin kukuh dan membuka pintu F1 untuknya.Tetapi sebelum itu iaitu pada tahun 2006, Vettel terlebih dahulu menyertai F3 Euroseries, yang menyaksikannya muncul naib juara di belakang Paul Di Resta.Setahun kemudian Vettel menyertai World Series Renault dan pada masa yang sama bertindak sebagai pemandu ketiga untuk BMW Sauber dalam F1.Vettel sedang mendahului kutipan mata untuk World Series Renault apabila dia menerima berita daripada BMW Sauber yang mahukannya mengantikan Kubica pada perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat di Indianapolis.Selepas berjaya mencuri mata sebagai pemandu ganti pada Grand Prix Amerika, pasukan Toro Rosso telah mengambil Vettel untuk sepanjang baki perlumbaan 2007.Perjudian tersebut ternyata tidak sia-sia kerana Vettel telah memenangi Grand Prix Itali pada 2008 untuk Toro Rosso - menjadikannya sebagai pelumba F1 paling muda untuk menduduki petak pertama perlumbaan, kemudian memenanginya dan juga menaiki podium - kesemuanya dalam satu perlumbaan.Pada tahun berikutnya, Red Bull telah berjaya mendapatkan tandatangan Vettel untuk berlumba dengan pasukan itu dan Vettel berjaya memenangi Grand Prix China dalam perlumbaan ketiga musim 2009.Tahun 2010 adalah tahun segala-galanya untuk Vettel. Walaupun permulaan musim menyaksikannya terlibat dengan beberapa kemalangan di litar tetapi pada akhirnya dia berjaya mengurangkan 15 defisit mata daripada Fernando Alonso untuk menjadi juara dunia untuk pertama kalinya.Vettel bukan sahaja memenangi kejuaraan F1 sebagai pelumba termuda dalam sejarah tetapi juga menang di lima Grand Prix.Tahun berikutnya iaitu 2011, segala-galanya kelihatan begitu mudah untuk Vettel. Dia menduduki petak pertama sebanyak 15 kali, menang 11 perlumbaan dan menaiki podium sebanyak 17 kali dalam kesemuanya 19 perlumbaan.Sekali lagi sejarah tercatat sebagai pelumba termuda untuk memenangi F1 sebanyak dua kali dan juga yang termuda sebanyak dua kali berturut-turut.Namun kejuaraannya yang ketiga pada 2012 terbukti tidak semudah tahun sebelumnya. Di beberapa perlumbaan awal, Red Bull bergelut dengan kepantasan kereta lawan tetapi bermula Grand Prix Singapura, Vettel mula mencatat kemenangan sebanyak empat kali berturut-turut. Dalam perlumbaan di Grand Prix Brazil, dia telah mengutip cukup mata untuk muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.Pada tahun ini, Vettel memulakan perlumbaan kedua musim di Grand Prix Malaysia dengan tidak memperdulikan arahan pasukan supaya memberi laluan kepada rakan sepasukannya Mark Webber untuk menang.Dia kemudiannya memohon maaf kepada Webber dan pasukannya tetapi selepas Grand Prix Kanada, tiada siapa boleh menghalangnya lagi apabila dia memenangi tujuh daripada sembilan perlumbaan untuk memisahkan dirinya jauh dari pencabar terdekatnya Fernando Alonso dari Ferarri.Vettel hanya memerlukan tempat kelima di Grand Prix India Ahad lepas untuk menjulang trofi dunianya yang keempat tetapi sebaliknya dia menang dengan penuh bergaya - sebagai juara Grand Prix India dan juga dunia sekaligus.Di luar litar, Vettel dikenali sebagai satu-satunya pelumba F1 tanpa diwakili oleh seorang pengurus. Sebaliknya dia berunding secara langsung dengan pasukannya tentang perincian kontrak serta bayaran.Selepas tamat musim perlumbaan, Vettel akan kembali ke kediamannya di kawasan desa di tepi Tasik Constance di Switzerland. Dia memandu kereta Volkswagen yang berusia lima tahun - yang dibelinya sebelum menyertai F1. Dia juga melakukan urusan membeli-belah sendiri. Vettel Di Dalam Nombor:Jumlah Perlumbaan F1: 117 kali.Menang: 36 kali.Kejuaraan Dunia: 4 kali.Petak Pertama: 43 kali.Podium: 59 kali.Perlumbaan F1 Pertama: 2007 Grand Prix AS.Kemenangan Pertama: 2008 Grand Prix Itali.Kemenangan Terkini: 2013 Grand Prix India.Mata Terbanyak Diperolehi: 392 (2011).Petak Pertama Terbanyak Semusim: 15 kali (2011).