suria

Safee Sali Bakal Ubah Angin Musim Depan

KUALA LUMPUR: Penyerang nombor satu negara, Safee Sali bakal mengubah angin apabila beberapa kelab dari Indonesia dan Thailand berminat menggunakan khidmatnya tahun depan.

Safee yang menerima tawaran dari kelab Arema FC dan Persib Bandung dari Indonesia serta Supanburi FC dari Thailand, bagaimanapun berkata setakat ini beliau belum membuat keputusan kerana menghormati kontraknya bersama Johor Darul Takzim (JDT) yang akan tamat, akhir November ini.

"Sekarang memang saya terima banyak tawaran, perancangan sudah ada tetapi masih belum membuat sebarang keputusan (tentang pasukan mana). Saya juga menerima tawaran daripada beberapa pasukan dalam Liga Malaysia.

"Kriteria yang menjadi keutamaan saya adalah untuk berada dalam kesebelasan utama dan saya mahu pastikan pasukan itu bermain bukan sahaja di liga (Indonesia atau Thailand) tetapi beraksi pada tahap kejohanan yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Kempen 100Plus 'Everyday Win' di sini Khamis.

Safee yang sebelum ini, bermain untuk kelab Pelita Jaya FC dari Indonesia dipinjamkan ke JDT, musim ini.

Mengenai penampilannya dalam skuad kebangsaan dan JDT pada musim ini, beliau mengakui prestasinya kurang menyerlah tetapi optimis mampu bangkit untuk membantu pasukan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015.

"Saya percaya skuad Harimau Malaya masih ada peluang untuk layak ke Piala Asia 2015. Kita mampu memberi yang terbaik apabila bertemu Bahrain dan Qatar," katanya.

Malaysia dijadual menentang Bahrain pada 15 Nov ini di Stadium Nasional Bahrain dan berdepan Qatar di Stadium Shah Alam empat hari kemudian sebelum menutup aksi kumpulan D dengan bertemu Yaman pada 5 Mac 2014 di venue yang belum ditetapkan.

Untuk rekod, Malaysia kini berada di tangga ketiga kumpulan D dengan empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan kalah sekali. - BERNAMA

Safee Sali, Penyerang, Liga Malaysia

Artikel Lain