suria

Eldstal Jalani Pembedahan 'Slipped Disc' Isnin Ini

KUCHING: Pemain tengah pasukan Sarawak, Junior Eldstal dijangka menjalani pembedahan untuk kecederaan 'slipped disc' pada Isnin ini.

Ketua jurulatih Robert Alberts berkata pembedahan akan dilakukan di ibu negara oleh pakar terkemuka, menggunakan teknologi laser yang mempercepatkan proses pemulihan.

"Beliau mengalami kecederaan itu sebelum datang ke Malaysia untuk bermain dengan Sarawak. Jika beliau tidak menjalani pembedahan ini secepat mungkin, kecederaan itu mungkin menjejaskan kerjayanya sebagai pemain bola sepak dalam jangka masa panjang," katanya kepada Bernama.

Eldstal, 22, yang dilahirkan di Sabah, membesar di Sweden sebelum berpindah ke England. Anak muda ini bermain dalam Liga Bola sepak Vauxhall sebelum menyertai Sarawak pada April tahun ini.

Beliau mendapat perhatian jurulatih kedua-dua pasukan skuad senior kebangsaan dan Harimau Muda serta pernah disenaraikan dalam skuad senior ketika perlawanan persahabatan menentang Chonburi FC, sebelum dipanggil untuk perlawanan menentang Chelsea FC dan Barcelona.

Eldstal menerima cap pertamanya ketika Harimau Muda A menentang Singapura U-23 dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka, September lepas. Dalam kejohanan itu Eldstal membantu negara mengetepikan cabaran Myanmar dalam perlawanan akhir yang berkesudahan 2-0.

Gol kedua negara disumbang oleh anak muda ini.

Susulan kecederaannya itu, Eldstal tidak dapat mewakili negara ke Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini.

Mengulas lanjut, Alberts berkata pencapaian Eldstal boleh dianggap berlaku dengan pantas bagi seorang pemain yang masih baharu, sekali gus memburukkan lagi kecederaannya.

"Sekarang masa untuk kita memikirkan tentang dirinya dan memastikan beliau mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan bola sepak. Saya tidak mahu memperjudikan nasibnya," kata Alberts. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Breathe Direka Pelbagai Kelebihan

Artikel Lain