suria

Harimau Muda A Berdepan Tugas Sukar Pertahan Pingat Emas Di Myanmar

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) berdepan tugas sukar dalam misi mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA di Myanmar, Disember ini apabila diundi bersama Vietnam dan Singapura.

Dalam undian yang diadakan di Naypyidaw, Myanmar pada Rabu, selain dua pasukan pilihan tersebut, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan bersaing menentang Brunei, Filipina dan Laos dalam Kumpulan A.

Tuan rumah, Myanmar turut berdepan laluan berliku selepas diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Thailand, Indonesia, Timor Leste dan Kemboja.

Perlawanan Kumpulan A akan berlangsung di Naypyidaw manakala pasukan dalam kumpulan B akan beraksi di Yangon.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara pada edisi ke-26 di Jakarta, Indonesia dua tahun lepas selepas menewaskan pasukan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Mereka turut muncul juara pada edisi 2009 ketika Laos menjadi tuan rumah menerusi kemenangan 1-0 ke atas Vietnam.

Kim Swee ketika dihubungi Bernama dari Kemboja, menyifatkan undian berkenaan adalah seimbang namun mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan beberapa pasukan kerdil seperti Laos, Brunei dan Filipina.

"Saya melihat Vietnam dan Singapura adalah pencabar utama tetapi saya mengingatkan pemain supaya tidak mengambil mudah pasukan lain yang boleh memberi ancaman kepada pasukan kita," katanya.

Skuad Harimau Muda A kini berada di Kemboja sejak 2 Nov lepas untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala BIDC.

Mengenai persiapan pasukan berkenaan, Kim Swee berkata skuad kendaliannya berada dalam prestasi terbaik kecuali penyerang, Syahrul Azwari Ibrahim yang mengalami kecederaan serius di bahagian lutut ketika menjalani latihan pada Rabu.

"Beliau perlu berehat selama beberapa hari sebelum kembali pulih sepenuhnya. Rata-rata pemain begitu bersemangat untuk beraksi di Myanmar selepas sekian lama kita menjalani latihan intensif sejak awal tahun ini," katanya.

Pada masa sama, Kim Swee masih menyimpan hasrat agar pemain tengah, Junior Eldstal dapat kembali pulih daripada kecederaan tulang belakang yang dialaminya.

"Sudah tentu Junior memainkan peranan penting dalam pasukan kita tetapi saya tidak boleh memikirkan sangat mengenai perkara berkenaan kerana yang lebih penting adalah persiapan pasukan," katanya.

Kim Swee berharap skuad kendaliannya dapat mempamerkan aksi terbaik bagi mempertahankan 'ibu segala pingat emas' pada temasya berkenaan.

Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan A menentang Filipina pada 2 Disember, diikuti Brunei (4 Disember), Laos (7 Disember), Singapura (10 Disember) dan Vietnam pada 14 Disember ini.

Kesemua perlawanan berkenaan berlangsung di Stadium Zeyar Thiri, Naypyitaw. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain