SEREMBAN Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (gambar) sah akan menyarung jersi pasukan kelab Felda United FC pada saingan Liga Perdana musim depan.Selain Indra Putra, Felda United juga telah mendapatkan khidmat pemain tengah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Shukor Adan dan penjaga gol utama ATM, Farizal Harun serta penyerang Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah. Felda United, yang turun ke Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga ke-11 Liga Super musim ini, turut mendapat bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.Irfan Bakti menggantikan Mohd Azuan Mohd Zain yang kontraknya tidak diperbaharui.Perkara itu disahkan oleh pengurus pasukan Felda United, Datuk Jamaludin Ahmad ketika dihubungi Bernama Jumaat."Saya harap jurulatih berwibawa dan berpengalaman ini dapat membentuk sebuah pasukan mantap dalam saingan Liga Perdana musim depan."Sasaran kami ialah memenangi satu piala musim depan dan melonjak semula ke saingan Liga Super pada musim 2015," katanya.Jamaludin berkata beberapa lagi pemain tonggak Kelantan akan menyertai pasukan termasuk pemain import."Selepas prestasi mengecewakan dalam saingan Liga Super, kami membuat rombakan ini bagi menghadapi kempen Liga Perdana musim depan dengan matlamat kembali semula ke Liga Super musim berikutnya," katanya. - BERNAMA