suria

Baltacha Bersara Dari Dunia Tenis

BEKAS pemain no.1 British, Elena Baltacha bersara daripada kerjaya sebagai pemain tenis profesional.

Baltacha,30, mencatat kedudukan ranking tertinggi di tangga ke-49 dunia pada tahun 2010 namun kecederaan dan pembedahan selepas itu membuatkan dia terkeluar daripada kelompok 200 pemain terbaik.

"Saya rasa ini adalah masa yang sesuai. Badan saya sudah cukup penat sejak 16 tahun dan akhirnya ia tamat.

"Saya menyimpan pengalaman berharga sepanjang karier tenis, ada yang menakjubkan, ada yang menyedihkan dan saya tidak akan melupakan itu semua.

"Badan dan otak saya memberitahu sudah tiba masanya saya berubah memulakan hidup baru," jelasnya.

Dilahirkan di Ukraine, Baltacha berpindah ke England bersama bapanya, Sergei yang merupakan seorang pemain bola sepak profesional dan selepas itu berpindah ke Scotland, tempatnya membesar.

Sepanjang 16 tahun sebagai pemain tenis profesional, Baltacha menjuarai 11 ITF perseorangan dan empat kali dalam acara beregu.

Dia tidak pernah melangkau ke Jelajah Akhir WTA namun mencatat rekod Grand Slam dengan memasuki pusingan ketiga sebanyak tiga kali iaitu dua kali di Australia dan sekali di Wimbledon.

Tumpuan kariernya juga termasuk menang ke atas Li Na dan Francesca Schiavone yang mana kedua-duanya adalah pemain yang berada di kelompok sepuluh pemain terbaik dunia.

Elena Baltacha, Tenis

Artikel Lain