suria

FAM Tambah Dua Pembantu Pengadil Untuk Saingan Liga Malaysia 2014

PETALING JAYA: Saingan Liga Malaysia 2014 bakal menyaksikan pertambahan dua pembantu pengadil menjadikan keseluruhan enam pengadil untuk setiap perlawanan bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Astaman Abdul Aziz berkata penggunaan dua pembantu pengadil di kawasan gol itu diharap dapat membantu pengadil utama untuk mengesahkan jaringan dalam sesebuah perlawanan.

Katanya pelaksanaan dua pembantu pengadil tambahan itu akan dilakukan secara berperingkat termasuk penggunaan set komunikasi bagi memudahkan perhubungan antara pengadil yang terlibat.

"Kita menyasarkan pada 2015, kesemua perlawanan Liga Super dan Perdana akan menggunakan sepenuhnya enam pegawai termasuk (pengadil utama, dua penjaga garisan dan pengadil keempat) serta set komunikasi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Ahad.

Astaman berkata pengenalan dua pembantu pengadil tambahan ini serta komunikasi dianggarkan menelan kos tambahan sekitar RM500,000 setahun.

Dalam pada itu, Astaman berkata pihaknya sedang mengkaji penggunaan pengadil profesional dalam kancah bola sepak tempatan memandangkan FAM perlu mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM4 juta setahun sekiranya berhasrat menggunakan khidmat mereka.

Katanya bayaran pengadil profesional perlu ditanggung oleh FAM kerana mereka bekerja sepenuh masa berbanding pengadil tempatan yang bekerja secara kontrak.

"Kebanyakan pengadil kita pada masa kini adalah bertaraf amatur dan gaji mereka dibayar oleh majikan masing-masing, jadi kos itu tidak ditanggung sepenuhnya oleh FAM," kata Astaman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan