HAMPIR dua bulan lagi, Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-50 akan berlangsung dan bakal memberikan persepsi baharu bola sepak tanah air. Sebanyak 17 posisi dipertandingkan termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden bagi pencalonan bermula Isnin 24 Februari 2014. Tempoh selama sebulan diberikan kepada semua calon sebelum dokumen tersebut dikumpul dan diserahkan kepada Setiausaha Agung FAM. Lankah terakhir pada 19 April ini akan diadakan mesyuarat exco bagi mengumumkan laporan tahunan termasuk akaun sebagai syarat sebelum mesyuarat sebenar yang berlangsung pada 25 Mei ini. Peluang dibuka kepada ahli gabungan FAM bagi merebut jawatan yang dipertandingkan dan sudah tentu jawatan presiden bakal menjadi tumpuan pada kongres kali ini. Kongres tahun ini diharap mampu memberi satu pemandangan luar biasa sepertimana yang diharapkan oleh peminat-peminat sukan bola sepak tanah air. Bukan menidakkan kredibili FAM setakat ini, tetapi nyata sekali mengharapkan agar ahli gabungan yang sedia ada berani mempamerkan diri dalam merebut jawatan-jawatan penting yang disediakan. Bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa tampil memberi pandangan mengenai Kongres FAM ini serta harapannya. Katanya, jawatan presiden FAM boleh dicabar mana-mana anggota gabungan berdasarkan statut sedia ada, namun ia tidak berlaku kerana calon bimbang mendapat kritikan sekiranya gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan. "Saya fikir untuk kali ini, harap akan ada keberanian daripada mana-mana anggota gabungan. Tidak memadai dengan sekadar mengeluh sahaja, kalau ada yang berkemampuan mereka harus dicalonkan. "Bola sepak Malaysia perlukan satu lonjakan yang besar. Masa sudah sampai, bercakap pun sudah lama dan macam-macam sudah kita lalui namun kalau sampai masa pemilihan, kita kembali kepada cara lama, maka tidak akan ada perubahan," katanya. Presiden Sultan Ahmad Shah yang masih menyandang jawatan Presiden sejak tahun 1984 wajar memberikan laluan kepada individu lain yang berkebolehan bagi memastikan bola sepak negara dapat melangkah ke hadapan. "Bagi saya, terlalu banyak sumbangan yang diberikan oleh baginda namun bola sepak ini terlalu 'demanding', Tuanku Presiden sendiri bersedia membuka laluan kepada calon-calon baharu. "Baginda sudah lakukan apa yang termampu untuk bola sepak Malaysia tetapi kita tidak boleh bergantung kepada masa lepas," katanya. Hakikatnya, bukan mudah untuk bergelar presiden. Baginda Sultan Ahmad Shah menerajui FAM hampir 30 tahun dan itu bukan satu tempoh yang singkat. Dalam tempoh itu pelbagai tohmahan, kritikan pahit, manis, kejayaan serta kegagalan dialami FAM namun sesuatu yang sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Mungkin ada calon yang layak untuk menerajaui FAM, namun takut berdepan dengan kritikan yang bakal dilemparkan. Annuar dilabelkan seorang yang berani dalam memberi komen atau pandangan mengenai situasi bola sepak Malaysia berkata, persatuan bola sepak negeri Johor, Kuala Lumpur, Sarawak dan Negeri Sembilan mempunyai presiden yang komited terhadap persatuan masing-masing. Bagaimanapun Annuar tidak boleh bertanding dalam sebarang jawatan pada kongres kali ini memandangkan tempoh penggantungganya akan tamat pada Oktober depan. Beliau digantung dua tahun enam bulan bermula April 2012 selepas didapati bersalah melanggar statut FAM artikel 88 selepas mengkritik skuad kebangsaan. Persoalannya, siapa yang berani mencabar jawatan induk FAM ini? Bersediakan mereka untuk berdepan dengan pelbagai permintaan atau isu-isu semasa bola sepak tanah air?