GENTING HIGHLANDS: Mirsamad Pourseyedigolakhour, pakar pendakian Tabriz Petrochemical Team dari Iran berjaya menawan laluan mencabar di Genting Highlands dalam cuaca sejuk untuk menjuarai Peringkat Empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 di sini, Ahad. Dalam perlumbaan yang bermula di Subang, Pourseyedigolakhour mengetepikan pelumba Eritrea Merhawi Kudus dari pasukan MTN Qhubeka dan pelumba Colombia Isaac Bolivar dari pasukan United Healthcare Pro Cycling. Pelumba berusia 28 tahun itu mengambil masa 2 jam 54 minit 44 saat untuk menamatkan perlumbaan, mengatasi Kudus dengan empat saat. "Pada mulanya saya berada dalam kumpulan utama, tapi pelumba MTN (MTN Qhubeka) amat bertenaga dan saya pun ambil keputusan mengekorinya sebelum terasa letih. Saya perlahankan kayuhan untuk menyimpan tenaga dan kemudian cuba mengasak dalam 3km terakhir. "Sudah tentu saya amat gembira apabila muncul sebagai rakyat Iran pertama memenangi peringkat Genting Highlands ini. Kami bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh di negara kami (Iran), jadi sudah tentulah saya dan pasukan saya amat gembira," katanya kepada pemberita di sini. Kemenangan itu membolehkan Pourseyedigolakhour merampas jersi kuning dan jersi putih yang dimenangi Duber Quintero dari Team Colombia dan Goh Choon Huat dari OCBC Singapore sebelum ini. Juara Tour of Qinghai Lake itu mencatat masa 12:09:21 untuk muncul sebagai pendahulu dalam klasifikasi umum (jersi kuning), manakala Kudus di tempat keduadengan ketinggalan hanya lapan saat. Di samping kemenangan itu, pasukannya juga berada di tempat paling hadapan dalam klasifikasi umum pasukan Asia setelah mencatat masa 36:32:28, manakala MTN Qhubeka menduduki tempat teratas dalam klasifikasi umum berpasukan dengan catatan 36:32:01s. Pelumba Ireland Matt Brammeier dari pasukan Synergy Baku Cycling Project mempertahankan jersi biru dengan meraih 40 mata dan jersi merah dengan 32 mata. Mohd Adiq Hussainie Othman dari Terengganu Cycling Team pula dinobatkan sebagai penunggang terbaik Malaysia apabila menamatkan perlumbaan dengan menduduki tempat ke-37. Perlumbaan akan diteruskan dengan Peringkat Lima esok iaitu dari Karak ke Rembau yang sejauh 139.3km.