KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Azlan Shah yang bakal membuka tirai pada 13 Mac ini ternyata menjadi aksi penting bagi skuad Malaysia. Bukan sekadar untuk menguasai dalam kelompok tiga terbaik, tetapi ada misi tersendiri skuad kendalian jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah. Ini kerana empat daripada enam pasukan termasuk Malaysia yang beraksi pada edisi ke-23 ini bakal bermain pada Kejohanan Hoki Piala Dunia bermula 31 Mei ini di Belanda. Aksi tahun ini menyaksikan hanya enam negara yang mengambil bahagian memandangkan Pakistan menarik diri baru-baru ini. "Selain Malaysia, kita ada China, Korea Selatan, Kanada, Australia, Afrika Selatan. "Mengenai Pakistan, kita belum berbincang mengenai apa-apa hukuman yang perlu diambil, mungkin ketika kejohanan ini berlangsung kita lihat apa yang patut dilakukan. "Ini kerana kejohanan ini merupakan perlawanan jemputan, dan peraturan kita yang tentukan. Bagaimana pun kita akan memaklumkan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sebelum membuat sebarang keputusan, " jelas Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Sultan Azlan Shah, Datuk Abd Rahim Md Ariff. Menurut Abd Rahim, kejohanan ini amat menarik kerana Korea Selatan, Australia dan Afrika Selatan turut layak beraksi di The Hague, Belanda nanti. "Pada Piala Dunia Mei ini, Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Australia, manakala Afrika Selatan dan Korea Selatan berada dalam Kump B. "Jadi kejohanan di Ipoh ini satu landasan terbaik memandangkan semua negara menghantar pasukan utama. Berdepan dengan Australia selaku juara dunia merupakan pengalaman baik untuk negara. "Manakala senarai pemain pula, kita ada 36 pemain kesemuanya setakat ini. Mereka akan menjalani ujian bertemu Kanada pada 6, 8 dan 9 Mac ini dan di situlah pemilihan untuk aksi Piala Sultan Azlan Shah dibuat," jelasnya. Sebagai rekod, sepanjang kejohanan yang mula diadakan pada tahun 1983 ini, Malaysia belum pernah dinobatkan sebagai juara. Namun skuad negara mencatat naib juara sebanyak empat kali (1985, 2007, 2009, 2013). "Kita masih menyasarkan mampu berada dalam kelompok tiga terbaik, namun sebolehnya mahu melihat piala ini berada di Malaysia," tambah Abd Rahim.