KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara nyata sukar ditandingi selepas mudah menewaskan Jepun untuk mara ke separuh akhir kejohanan Siri Super Akhir Istaf 2013/14 yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa. Trio negara diwakili Hanafiah Dolah, Muqlis Borhan dan Izurin Refin hanya mengambil 22 minit untuk menyingkirkan gandingan Masahiro Yamada, Seiya Takano dan Masanori Hayashi, 15-1 dan 15-9 pada perlawanan suku akhir hari ini. Menanti skuad negara pada perlawanan seterusnya ialah pasukan Brunei yangmenewaskan Singapura 15-11 dan 15-6 dalam satu lagi perlawanan suku akhir. Jurulatih sepak takraw negara Jamaluddiin Hassan berkata pasukan negara mempamerkan rentak perlawanan sebenar namun masih perlu mempelbagaikan corak hantaran dan servis yang lebih tepat. "Pemain perlu memberi tekanan awal kepada lawan seperti set pertama yang mana kita menang 15-1. Tekong negara Izurin juga kurang membuat kesilapan tetapi perlu lebih memberikan servis yang lebih tajam. "Kita perlu bermain dengan cara kita sendiri nanti. Selepas beberapa perlawanan, saya lihat pemain sudah mendapat rentak," katanya kepada pemberita pada Jumaat. Jamaluddin berkata kemungkinan beliau akan membuat pertukaran pemain bagi menentang Brunei esok dan mahu pemain mempertingkatkan prestasi untuk mara ke final.. "Brunei antara pasukan yang konsisten. Pemain mereka mempunyai fizikal badan yang cergas serta permainan mereka juga kemas," katanya. Ketua pasukan Muqlis berkata beliau berpuas hati dengan komitmen dan keserasian rakan sepasukannya serta mahu skuad negara mengekalkan prestasi semasa untuk lebih kompetetif dalam perlawanan pada Sabtu. "Selepas beberapa perlawanan, kami lebih serasi tetapi masih ada beberapa gerakan perlu diperbaiki. Ini merupakan kali pertama beraksi dalam kejohanan ini, masih ada beberapa gerakan perlu diperbaiki," katanya.