suria

Chong Wei Berbisa, Tidak Mudah Kalah - Norza

Chong Wei masih kekal selalu pemain no.1 dunia.

KUALA LUMPUR: Kejayaan Datuk Lee Chong Wei meraih kejuaraan badminton All England 2014 membuktikan beliau seorang pemain yang tidak mudah menyerah kalah dan wajar dicontohi.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata kemenangan Chong Wei menunjukkan pemain nombor satu dunia itusukar digugat walaupun bersaing dengan pemain muda dan berbakat.

"Kemenangan Chong Wei itu merupakan kejayaan bermakna buat negara dan dirinya sendiri, beliau memberikan persembahan yang mengagumkan dengan mempelbagaikan cara permainan.

"Beliau tidak terlalu mengikut rentak Chen Long serta tenang mengawal gelanggang, dengan sokongan padu penyokong Malaysia di sini (England) memang menaikkan semangat beliau untuk meraih kemenangan itu," katanya.

Mohamad Norza berkata jaguh badminton negara itu membuktikan bahawa prestasinya meningkat dan memberikan perlawanan agresif setanding dengan pemain muda seperti Chen Long walaupun mencecah usia 32 tahun.

"Ramai beranggapan perlawanan final (All England) Chong Wei-Chen Long adalah 50-50. Pada pusingan separuh akhir Chong Wei terpaksa bermain dalam perlawanan yang panjang kerana keadaan yang sejuk namun beliau tetap mampu mengatasi pemain muda, Son Wan Ho dari Korea Selatan," katanya. 

Jaguh badminton negara itu menumpaskan musuh tradisinya, Chen Long berusia 25 tahun dengan straight set 21-13 dan 21-18 pada final di National Indoor Arena, Birmingham, England, awal pagi ini waktu tempatan. 

Chong Wei pernah meraih juara All England pada 2010 dan 2011. Lin Dan dari China meraih gelaran itu pada 2012 manakala Chen Long merangkul kejuaraan berkenaan pada 2013.

badminton, chong wei, all england

Artikel Lain