suria

Presiden Bayern Munich Dihukum Penjara Tiga Tahun

Uli Hoeness meninggalkan mahkamah selepas hari keempat perbicaraan.
MAHKAMAH Tinggi Jerman pada Jumaat telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah ke atas Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, di atas kesalahan mengelak cukai - menjadi personaliti yang pertama dihumban ke penjara atas kesalahan seumpama ini.

Beliau mengaku salah menipu pihak berkuasa cukai Jerman.

Pihak pendakwaraya pada mulanya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setengah. 

Sementara menunggu kes rayuannya didengar, mahkamah membenarkan hukuman penjara ke atas Hoeness ditangguhkan buat sementara waktu.

Bekas juara Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Jerman itu telah menyimpan sejumlah wang yang besar yang sepatutnya dibayar sebagai cukai dalam akaun sulit di Switzerland.

Peguambela Hoeness berhujah yang mahkamah tidak sepatutnya memenjarakannya kerana dia secara sukarela menyerahkan diri.

Tetapi sebaliknya pihak mahkamah tidak memgendahkan saranan tersebut kerana Hoeness hanya membuat pengakuan separuh benar. 

Hoeness, 62, pada asalnya hanya didakwa kerana cuba mengelak cukai sebanyak Euro3.5 juta  (£2.9 juta/AS$4.9 juta) tetapi dia sendiri kemudiannya mendedahkan yang dia telah menyembunyikan wang cukai sebanyak  Euro 15 juta lagi.

Sebahagian daripada punca dia mengelak cukai adalah disebabkan ketagihan berjudinya.

Sewaktu perbicaraan, Hoeness telah membuat pengakuan yang dia berhutang kerana judi sehingga Euro27.2 juta. 

Ketika skandal ini terbongkar, Hoeness menyerahkan surat perletakan jawatannya selaku presiden tetapi menarik balik keputusan tersebut atas permintaan para penyokong Bayern.

Sepanjang proses perbicaraan itu, para penyokong Bayern Munich telah berkumpul di hadapan mahkamah bersama sepanduk yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka ke atas Hoeness.

Koresponden BBC Stephen Evans melaporkan penghakiman itu sangat signifikan kerana ia memberi indikasi tentang sikap terhadap pengelakan cukai di Jerman telah berubah sejak negara itu mengalami krisis kewangan beberapa tahun lalu.

Hoeness dianggap sebagai seorang legenda bolasepak di negaranya selepas beliau berjaya membawa pulang Piala  Negara-Negara Eropah pada 1972 dan dua tahun kemudian membantu Jerman muncul juara Piala Dunia. 

Namun pihak pendakwaraya tidak mengendahkan reputasinya sebagai hero atau ikon bolasepak negara itu sebaliknya menganggap hukuman harus dikenakan ke atas seorang yang cuba mengelak bayaran cukai sebanyak berjuta-juta Euro.

Sepanjang perbicaraannya juga, Hoeness telah menyatakan rasa kekesalan yang amat mendalam di atas perbuatannya itu.

Kes ini disifatkan oleh akhbar terkemuka Jerman, Sueddeutsche Zeitung sebagai yang paling menyerlah pada abad ini.

Ini kerana disebalik segala dakwaan ke atasnya Hoeness kekal sebagai seorang yang disayangi bukan sahaja oleh kelabnya dan para penyokong kelab itu tetapi juga oleh sebahagian besar warga Jerman.

Beliau secara terhormat menawarkan perletakan jawatan sebagai pengerusi Bayern semasa mesyuaray agung tahunan kelab itu hujung tahun lalu tetapi tawarannya itu ditolak mentah-mentah walaupun mereka tahu yang kesnya sangat berat dan boleh memalukan imej kelab.

Malah sebelum kes siasatan ke atasnya diumumkan secara rasmi, Hoeness menerima panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali memaklumkan kepadanya terlebih dahulu yang pihak berkuasa akan mendakwanya di mahkamah. 

Begitulah hebatnya pengaruh dan imej Hoeness di mata masyarakat dan mereka mahu melindunginya di atas apa yang telah disumbangkannya kepada Jerman dan juga Bayern Munich dalam sukan bolasepak.

Artikel Lain