JUARA Jerman, Bayern Munich mencatat sejarah mengharungi 50 perlawanan tanpa kalah dengan menumpaskan satu-satunya pasukan yang belum tewas di tangan mereka, Bayer Leverkusen 2-1. Rekod sebelum ini dipegang oleh Arsenal pada 2004 dengan 49 perlawanan tanpa kalah. Arsenal muncul juara Liga Perdana Inggeris pada tahun tersebut. Penjaring terbanyak Bundesliga, Mario Mandzukic menanduk masuk gol pertama Bayern sebelum tamat separuh masa pertama dan kemudian Bastian Schweinsteiger pula menjaringkan gol kedua selepas separuh masa kedua bermula. Bayern tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda goyah walaupun perlawanan itu merupakan yang pertama selepas presiden mereka, Uli Hoeness meletak jawatan selepas dihukum penjara tiga tahun setengah kerana mengelak membayar cukai. Kelab itu menunjukkan yang mereka sememangnya berada di dalam kelas mereka yang tersendiri dengan kebarangkalian akan menjuarai liga menjelang Sabtu depan dengan sembilan lagi baki perlawanan masih di tangan. FAKTA PERLAWANAN: Bayern Munich: Neuer, Rafinha, Contento, Kroos, van Buyten, Boateng, Robben (Ribery 66'), Schweinsteiger, Mandzukic (Shaqiri 75'), Gotze, Müller. Simpanan: Thiago Alcantara, Javi Martínez, Lahm, Starke, Alaba. Gol: Mandzukic 44', Schweinsteiger 52'. Bayer Leverkusen: Leno, Hilbert, Boenisch, Rolfes, Wollscheid, Spahic, Bender, Can (Derdiyok 80'), Kiessling, Castro, Son (Sam 66'). Simpanan: Brandt, Guardado, Yelldell, Donati, Wagener. Gol: Kiessling 90'. Jumlah Penonton: 71,000.