suria

Korea Selatan Menang Tipis Ke Atas China

Dua Pemain Korea Lee Seung ll (kanan) cuba menyekat kemaraan pemain China Zhang Zhixuan dalam perlawanan China bertemu Korea pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak, malam Isnin.- fotoBERNAMA
IPOH: Pakar pukulan sudut Jang Jong Hyun menjaringkan dua gol untuk membantu Korea Selatan menewaskan China 3-2 pada pada perlawanan pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini, malam Isnin.

Korea Selatan dengan ranking nombor tujuh dunia bagaimanapun menerima tentangan sengit apabila China menampilkan corak permainan pantas dan kemas untuk mengekang cubaan lawannya.

Kim Seong Kyu meletakkan Korea Selatan di hadapan menerusi jaringan padang pada minit ke-19 sebelum China menyamakan kedudukan pada babak pertama menerusi jaringan Zhang Zhixuan pada minit ke-32.

China, yang menduduki ranking ke-25 dunia, bagaimanapun kembali pada babak kedua dengan penuh semangat untuk mendahului 2-1 menerusi jaringan Du Talake pada minit ke-37.

Korea Selatan, yang tersentak seketika dengan jaringan itu, melipatkan gandakan usaha dengan melakukan serangan bertali arus sebelum Jong Hyun menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi pukulan sudut penalti.

Ketika kedua-dua pasukan itu dijangka menamatkan saingan dengan berkongsi mata, Jong Hyun melakukan penyudah pada percubaan pukulan sudut penalti pada minit ke-66 bagi membantu Korea Selatan mengutip mata penuh serta mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.

Korea Selatan kini menduduki tangga kedua dalam saingan enam pasukan dengan mengumpul tujuh mata selepas mengalahkan Kanada 3-0 dan terikat 2-2 dengan Malaysia.

Korea Selatan akan menentang juara bertahan Australia, Khamis ini sebelum melengkapkan jadual pusingan awal dengan bertemu Afrika Selatan, Sabtu ini.
 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain