Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata pemain pertahanan Nik Zul Aziz Nik Nawawi merupakan nama awal yang
diluluskan perpindahan itu, namun bergantung kepada keputusan muktamad PBSNT kelak.
Satu lagi nama yang mungkin terlibat ialah pemain penyerang Abdul Manaf Mamat.
"Sebenarnya T-Team mohon tiga pemain untuk memperkuatkan barisan mereka, tetapi setakat ini Terengganu hanya meluluskan perpindahan seorang sahaja, manakala dua lagi masih dalam pertimbangan," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Arpin berkata pihaknya telah menguji beberapa pemain import dari beberapa buah negara seperti dari Amerika Latin dan benua Afrika.
"Kita telah menguji sejak dua hari lepas, tetapi kesemua pemain itu tidak mencapai tahap yang diperlukan. Masih ada tempoh sebulan lagi untuk menguji pemain import dan kita harap akan temui pemain yang kita perlukan dalam tempoh tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata setakat ini prestasi pasukannya dalam saingan Liga Super masih ditakuk lama selepas mengharungi lapan perlawanan dan menduduki tempat tercorot daripada 12 pasukan.
Beliau berharap keadaan itu akan berubah dengan kemasukan pemain baharu.