INI bukanlah bilik dalam hotel mewah lima bintang tetapi sebenarnya hiasan dalaman kapal layar mewah terbaru milik mogul Formula 1 Eddie Jordan yang bernilai £32juta. Jordan, 65, telah menerima kunci kapal layarnya itu Isnin lalu daripada pembuatnya iaitu sebuah firma perkapalan mewah Sunseeker. kapal itu cukup besar untuk memuatkan lima bilik utama untuk tetamu dan memiliki tiga dek. Malah masih terdapat ruang untuk dibina bilik khusus untuk 10 krew kapal berkenaan termasuklah sebuah bilik asing untuk kapten. Kapal itu juga turut memiliki bilik minum, makan, bilik sofa, bilik mesyuarat malah sebuah bilik khas untuk kelab malam. Terdapat juga satu dek khas untuk menyimpan 'jet ski' dan garaj untuk menyimpan basikal dan peralatan mainan yang lain. Bilik kawalan kapal pula lebih kelihatan seperti kokpit sebuah kapal angkasa yang moden lengkap dengan peralatan dan alat kawalan yang canggih. Dengan berat sehingga 200 tan, kapal ini dilengkapkan dengan enjin yang boleh memacu sehingga 22 knot atau 25 batu sejam. Tangki minyaknya boleh menyimpan 60,000 liter bahan api yang membolehkannya belayar sejauh 4,000 batu nautikal tanpa isi semula. Jordan kini berhasrat untuk melakukan pelayarannya yang pertama bersama kapal baru itu yang dinamakan 'Blush' ke Monaco di mana beliau memiliki sebuah kediaman mewah di bandar pelabuhan tersebut. Kapal berwarna krim itu juga boleh disewa pada harga £1 juta sebulan untuk mereka yang mewah dengan cita rasa tinggi. Dan Jordan telah memperolehi pendapatan sebanyak £3 juta hasil daripada kapalnya itu kerana ia sudahpun ditempah untuk tempoh tiga bulan akan datang. Jordan adalah orang yang bertanggungjawab membuka laluan kepada juara F1 tujuh kali, Michael Schumacher pada 1991. "Saya sudah pun memenuhi tiga impian saya iaitu untuk membina sebuah kereta lumba, selepas itu kereta untuk Formula 1 dan kini membina sebuah kapal layar mengikut cita rasa saya," ujarnya. Menurut Jordan lagi, dia adalah peminat setia Sunseeker iaitu syarikat yang membina kapal layarnya itu. Mereka, katanya bukan sahaja memiliki jenama yang baik tetapi citarasa yang tinggi serta tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Kapal layar milik Jordan itu adalah yang terbesar seumpamanya yang pernah dibina oleh Sunseeker, sebuah firma yang berpusat di Poole, Dorset dan mengambil tempoh selama tiga tahun untuk disiapkan.