SEPANG: Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton berjaya mencatat kejayaan pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas lapan kali beraksi pada Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia. Malah Hamilton, 29, turut mencatat hatrik pada aksi di Malaysia tahun ini dengan meraih petak pertama pada aksi kelayakan, masa lap terbaik serta gelaran juara. "Sukar dipercayai, sukar dipercayai. Selepas mengharungi situasi sukar sepanjang minggu, saya gembira dan teruja dengan sokongan di sini. "Saya berasa bertuah dengan kerja keras Petronas bersama Mercedes sehingga membawa kejayaan kepada kami. "Kejayaan ini juga saya dedikasi kepada keluarga mangsa tragedi (MH370) yang berlaku tiga minggu lalu," jelasnya selepas perlumbaan. Pelumba dari Britain itu mendahului kedudukan pertama sejak awal permulaan selepas dibantu rakan sepasukannya, Nico Rosberg yang meraih tempat kedua berjaya menyekat pelumba Red Bull, Sebastian Vettel daripada memintas Hamilton. Lebih menarik, kedua-dua pelumba Mercedes ini mendominasi litar bukan sahaja pada aksi perlumbaan ini tetapi turut menguasai kedudukan kelompok ketiga terbaik sepanjang sesi latihan dan juga saingan kelayakan pada Jumaat dan Sabtu. Selain mencatat rekod terbaik di Malaysia pada edisi ke-16 ini, ini juga merupakan kejayaan yang ke-23 sepanjang kariernya. "Semuanya kerana Petronas yang bertungkus lumus menyediakan bahan api yang terbaik, dan kejayaan ini berlaku di laman sendiri. Lebih manis, kami berada kedudukan pertama dan kedua. "Situasi seperti ini tidak banyak berlaku dalam karier saya dan sebab itulah kejayaan hari ini sangat istimewa. Saya amat menghargai apa yang telah dilakukan dan...ya ia sangat memuaskan," jelas bekas juara dunia 2008 ini. Sementara itu, Rosberg menguasai kedudukan keseluruhan pemandu setakat ini selepas dua kali menaiki podium. "Saya memulakan perlumbaan awal dengan baik, jadi ia begitu bermakna kerana saingan tahun ini bukan mudah. "Pun begitu, belum terlintas lagi di fikiran saya untuk merebut gelaran dunia setakat ini. Saya hanya mahu menumpukan satu demi satu perlumbaan, menikmati kejayaan yang dikecapi dan dalam masa sama teruskan saingan serta beri tekanan kepada pasukan lain. "Dan semua penduduk Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan Petronas ini," jelasnya. Hamilton dan Rosberg bakal meneruskan kejayaan mereka di Grand Prix Bahrain bagi pusingan ketiga F1 pada 4-6 April ini .