KUALA LUMPUR: Dubai telah mengikat perjanjian rakan perkongsian selama empat tahun dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Siri Super Akhir Dunia BWF serta menaja ranking Siri Super Dunia BWF di bawah nama 'Destinasi Dubai'. Menurut kenyataan BWF pada Rabu, pemain terbaik dunia seperti Datuk Lee Chong Wei (Malaysia), Chen Long (China), Jan Jorgensen (Denmark) dan pemain Thailand, Ratchanok Intanon akan menyertai kejohanan musim penghujung, Siri Super Akhir Dunia Destinasi Dubai, Disember ini. "Dalam membawa Siri Super Akhir Dunia Destinasi Dubai ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan rantau Timur Tengah buat pertama kali, Dubai akan mempuyai hak penamaan untuk Ranking Destinasi Dubai. "Ranking ini adalah hasil daripada kutipan mata daripada 12 pusingan Siri Super Dunia BWF MetLife oleh pemain elit yang beraksi sejak Januari," menurut kenyataan tersebut. Pada tahun ini, tiga kejohanan sudah selesai dengan berbaki sembilan lagi pusingan di Asia, Australia dan Eropah. Selepas 12 pusingan, lapan pemain perseorangan dan beregu utama dalam lima kategori akan layak ke Siri Super Akhir Dunia di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai, Disember ini.