suria

F1: GP Bahrain Penuh Dengan Kejutan & Debaran

Kemalangan di antara Esteban Guttierrez dan Pastor Maldonado pada F1 GP Bahrain yang berlangsung Ahad malam.

> Esteban Gutierrez dimasukkan ke hospital selepas keretanya dilanggar oleh Pastor Maldonado.

> Maldonado dihukum undur lima grid untuk GP China nanti.

> Lewis Hamilton dan Nico Rosberg bertarung untuk kemenangan dalam perlumbaan terhebat musim ini.

> Sebastian Vettel diarahkan memberi laluan kepada Daniel Ricciardo.

> Jenson Button terpaksa berhenti kerana masalah kotak gear dalam perlumbaannya yang ke-250


BAHRAIN: Esteban Gutierrez terpaksa dimasukkan ke hospital untuk ujian lanjutan selepas kereta yang dipandunya dilanggar dari belakang oleh pemandu Lotus, Pastor Maldonado dalam GP Bahrain pada malam Ahad manakala juara bertahan Sebastian Vettel diminta memberi laluan kepada rakan sepasukannya dan Lewis Hamilton serta Nico Rosberg pula diizinkan bersaing hingga ke garisan penamat - itulah drama dan suspen yang dapat disaksikan pada perlumbaan yang dianggap terbaik dan terhebat setakat ini.

Pasukan Gutierrez, Sauber kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan yang Esteban Gutierrez telah menjalani pemeriksaan terperinci dan dibenarkan keluar selepas itu.

Jentera yang dipandu Gutierrez dilanggar dari belakang oleh Maldonado.

Pada masa yang sama, Maldonado dikenakan penalti dan akan memulakan perlumbaan lima grid ke belakang pada GP China nanti. Malah lesennya juga dikenakan tiga mata penalti yang bermakna, jika dia mengutip sembilan mata penalti lagi, dia akan dikenakan tindakan pengantungan satu perlumbaan.

Gutierrez bernasib baik tidak mengalami kecederaan parah akibat perlanggaran itu kerana keretanya bukan sahaja melambung malah terbalik menghempapnya ke trek selepas itu.

Semua orang menyangkakan pada mulanya yang Gutierrez mengalami konkusi atau gegaran di kepala kerana untuk beberapa minit dia terikat kaku di tempat duduknya tanpa bergerak selepas kejadian itu berlaku.

Kemalangan yang berlau di pusingan ke-40 itu memaksa kereta keselamatan untuk masuk memintas kereta-kereta yang lain dan menjejaskan rentak perlumbaan.

Bagaimanapun kemalangan itu tidak menjejaskan persaingan sengit di antara dua pemandu Mercedes-Petronas, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg yang menyaksikan bagaimana pasukan mereka membenarkan kedua-dua pemandu itu berlumba tanpa halangan sehingga ke garisan penamat.

Kedua-duanya kemudian memeluk dan bergurau di antara satu sama lain sebaik sahaja tamat perlumbaan yang sekaligus membuktikan yang mereka menerima persaingan mereka sebagai sesuatu yang sihat dan menyeronokkan. 

Sebaliknya, juara bertahan, Sebastian Vettel telah diarahkan oleh pasukannya supaya memberi laluan kepada Daniel Ricciardo untuk memintas bagi menentukan kedudukan di tempat kelima dan keenam.

Vettel sekadar menduduki tempat keenam.

'Daniel kini lebih laju dari awak...benarkan dia memintas,' kata ketua pasukan melalui radio kepada Sebastian Vettel - sesuatu yang tidak dijangkakan boleh muncul dalam pasukan Red Bull Infiniti.

Ricciardo yang mengantikan tempat Mark Webber yang telah bersara dari F1 tidak pernah diberikan harapan untuk memberi saingan kepada Vettel sebelum musim ini bermula. Ternyata anggapan itu salah.

Bermula dari petak ke-13, Ricciardo membuktikan yang dia bukanlah budak hingusan yang baru hendak bertatih dalam F1.

Sementara itu, tiga kali juara dunia, Niki Lauda menyifatkan perlumbaan di GP Bahrain sebagai salah satu yang terhebat yang pernah disaksikannya.

'Jika ada orang merungut dan mengatakan yang F1 telah menjadi satu sukan yang menjemukan maka dia adalah seorang yang benar-benar bodoh,' ujarnya.

Persaingan bukan sahaja berlaku di antara lawan malah di antara pelumba sesama pasukan. Misalnya pelumba Williams, Valterri Bottas dan Felipe Massa, Force India, Sergio Perez dan Nico Hulkenberg serta Daniel Ricciardo dan Vettel - kesemua mereka saling potong memotong dan cuba mendahului satu sama lain serta enggan mengalah - menjadikan kenapa GP Bahrain adalah yang terbaik setakat ini selepas musim baru mengharungi tiga perlumbaan.

Button gagal menamatkan perlumbaan kerana jenteranya mengalami masalah.

Jenson Button meraikan perlumbaannya yang ke-250 dalam F1 tetapi terpaksa menamatkan perlumbaan di separuh jalan kerana masalah pada kotak gear.

GP Bahrain juga mencatat sejarah sebagai perlumbaan yang ke-900 sejak F1 diperkenalkan.

 Hamilton menunjukkan isyarat bagus selepas dinobatkan sebagai juara di atas podium.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Serie A

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan