KUALA LUMPUR: Kejohanan tenis WTA BMW Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada 14-20 April di Kelab Golf Royal Selangor (RSGC), mengesahkan beberapa lagi penyertaan bintang ternama sekaligus menambah bahang kehangatan pertandingan yang memasuki edisi kelima tahun ini. Mengetuai senarai terbaharu itu adalah pemain veteran Jepun, Kimiko Date-Krumm yang merupakan pemain tertua dalam Jelajah WTA dan Kristına Plíšková dari Republik Czech,mengikuti jejak kakak kembarnya, juara bertahan Karolina tidak mahu ketinggalan untuk datang ke Kuala Lumpur buat tahun kedua berturut-turut. Selaku penganjur, Malaysia dibenarkan satu penyertaan secara wildcard pusingan utama, dan kelebihan itu diberikan kepada pemain no.1 negara, Alyssa Boey untuk menggalas cabaran Malaysia. Alyssa, merupakan anggota pasukan Piala Fed negara bakal membuat penampilan sulungnya pada pertandingan ini dan dalam Jelajah WTA. Alyssa akan memikul cabaran utama negara. "Saya amat gembira untuk diberi peluang beraksi buat kali pertama dalam BMW Terbuka Malaysia, dan lebih penting lagi dalam Jelajah WTA. "Inilah pendedahan yang terbaik yang saya boleh perolehi pada peringkat ini. "Saya sungguh teruja dapat berentap dengan pemain-pemain pro handalan dunia, dan inilah pentas terbaik untuk menguji sejauh manakah jurang tahap antara saya dengan mereka. "Ia boleh dijadikan satu batu loncatan untuk perkembangan karier saya selepas ini. Walaupun peluang untuk menang sememangnya tipis, setidak-tidaknya saya akan cuba memberi saingan sehebat mungkin kepada lawan," kata Alyssa. Sementara itu kedatangan bekas pemain no.4 dunia Kimiko yang akan menjangkau usia 44 pada 28 September ini, semestinya satu penghormatan besar kepadanya. Pemenang pingat emas Sukan Asia 1994 itu pernah bersara daripada tenis pada 1996 sebelum membuat kemunculan semula 12 tahun kemudian pada 2008. Dia tidak menunggu lama untuk mengutip kejuaraan perseorangan WTA kelapan karier apabila menawan Terbuka Korea 2009. Ini bukan kali pertama Kimiko menduduki ranking ke-98 dunia hadir ke Kuala Lumpur. Penampilan sulungnya pada 2011 menyaksikan dia tersingkir seawal pusingan pertama dan tentunya tidak sanggup untuk pulang awal lagi kali ini. Seperti Kimiko, Kristyna juga mempunyai matlamat yang sama. Diletakkan sebagai pilihan kelapan tahun lalu, juara remaja Wimbledon 2010 itu gagal menepati statusnya apabila tumpas di tangan pemain Kazakhstan Zarina Diyas pada pusingan pertama. Kristyna bagaimanapun tidak meninggalkan Malaysia tanpa kenangan manis. Bersama kakaknya, Karolina, mereka melangkah sejauh separuh akhir dalam saingan beregu. Pasangan adik beradik itu tentunya menjadi antara pilihan untuk menjuarai pertandingan beregu selepas memenangi gelaran sulung mereka di Linz, Austria pada Oktober tahun lalu. Finalis Terbuka Australia Dominika Cibulkova dan bekas pemain no.1 dunia Venus Williams adalah dua pilihan teratas kejohanan, diikuti Zhang Shuai dan Karolina yang masing-masing diletakkan sebagai pilihan ketiga dan keempat.