suria

PPBN Diangkat Status Projek Nasional, Terima Sumbangan RM10 Juta

Najib (tengah) beramah-mesra dengan pelajar akademi ketika sesi latihan pada perasmian Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, Kuantan pada Khamis. - fotoBERNAMA
GAMBANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan  Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dilancarkan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, diletakkan status sebagai Projek Nasional, pada Khamis.

Jelas Najib, pelan ini penting bagi masa depan bola sepak negara yang bersifatkan nasional dan perlu disokong oleh semua pihak.

"Ia bukan projek Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi ia satu projek nasional.

"Kita angkat status ini dan semestinya disokong oleh semua pihak sama ada kerajaan, pihak swasta dan orang ramai sehingga mencapai sasaran yang telah pun digariskan," katanya ketika berucap sebelum merasmikan pelan tersebut.

Tambah Najib, sebagai tanda sokongan terhadap projek ini, pihak kerajaan telah bersetuju memberi sumbangan bagi membantu melancarkan pelan tersebut.

"Saya sebagai Menteri Kewangan, menyokong projek ini dan bersetuju menyumbangkan sebanyak RM10 juta.

"Apabila ada sumbangan ini, harapnya kita dapat melihat kejayaan lebih tinggi pasukan Malaysia, namun semua ini tidak akan menjadi satu kenyataan berdasarkan impian sahaja.

"Sesuatu yang kita jayakan hari ini mestilah terancang berdasarkan pelan yang sistematik, tersusun dan dikekalkan dengan sumber diperkukuhkan.

"Kalau semangat sahaja ada, ia tidak cukup. Dan juga kalau tidak ada komitmen nescaya ia tidak akan berjaya.

"Negara lain telah menampak kemampuan dan prestasi mereka. Sehingga hari ni kita berada di ranking yang agak ketinggalan sangat, iaitu No.141 berbanding dengan negara-negara lain seperti Filipina dan Vietnam sudah pun mengatasi kita dan ini merupakan sesuatu yang menyedihkan," kata Najib.

Dalam pada itu juga, beliau turut menegaskan bahawa perlu lebih ramai jurulatih bola sepak.

"Kita perlu ramaikan lagi jurulatih dalam sukan bola sepak dan bukannya bookie yang ramai.

"Kalau bookie yang ramai, bola sepak kita tidak ke mana. Jangan ada kompromi dalam hal ini kerana bookie boleh jual maruah kita," tegasnya.

Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara Fasa 1 bermula 2014-2020 bertujuan untuk membangunkan semula sukan ini secara menyeluruh yang melibatkan semua aspek pembangunan seperti penyertaan atlet, kejurulatihan, kemudahan dan pertandingan.

Artikel Lain