ALOR SETAR: Beregu wanita negara Goh Yea Ching/Peck Yen Wei telah melunaskan misi balas dendam terhadap gandingan Korea Selatan Kim Ga Eun/Kim Hyang Im pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF 2014 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini. Beregu negara itu menewaskan pasangan Korea itu dalam pertarungan 'rubber-set' 21-15, 17-21, 21-8. Menurut Goh, walaupun mereka hanya bertemu sekali dan tewas dalam perlawanan persahabatan, peluang pada Ahad digunakan sebaik mungkin untuk memenangi perlawanan di pentas kejohanan sebenar. "Hari ini (Ahad) kami lebih bersemangat sebab mahu balas dendam sebelum ini ketika kalah tahun lepas dalam perlawanan persahabatan. Kali ini adalah kejohanan sebenar dan kita mahu pastikan kita menang," kata Goh yang telah dua tahun berganding dengan Peck. Katanya, untuk perlawanan seterusnya, mereka akan memantapkan lagi dari segi kawalan dan gerakan yang lebih pantas bergantung kepada taktik lawan yang bakal dihadapi. Jurulatih beregu wanita Wong Pei Tty berpuas hati dengan pencapaian tiga beregu wanita pada Ahad walaupun satu pasangan gagal mara ke pusingan seterusnya. "Kita memang tahu agak sukar untuk berhadapan dengan Korea dan kita anggap peluang 50-50, hanya satu berjaya mara dan satu lagi kandas. Goh/Peck layak ke pusingan seterusnya dan ada peluang ke peringkat seterusnya namun halangan besar apabila mungkin bertemu China di pusingan ketiga," katanya. Pada perlawanan sebelah petang, dua daripada tiga pasangan beregu mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan berlanjutan ke rubber set. Selain Goh/Peck, pasangan Eng Pui Yee/Tew Jia Jia menewaskan Fan Ka Yan/Wu Yi Ting dari Hong Kong 13-21, 21-23, 19-21 manakala pasangan Raja Nunina Raja Azlan Shah/Yap Zhen tewas kepada pasangan Korea Park Keun Hye/Yoon Ah Min 12-21, 17-21. Sementara itu, perseorangan lelaki Lee Zii Jia menghadapi tentangan sengit daripada pemain Indonesia Firman Abdul Kholik sebelum menang 15-21, 21-19, 21-17 untukk bertemu seorang lagi lawan dari Indonesia Muhammad Bayu Pangisthu. "Saya rasa saingan akan sama seperti hari ini kerana kedua-dua pemain ini saya belum pernah lawan. Ini kali pertama dan Firman pada Ahad bagus cuma saya berjaya ambil kesempatan apabila dia sudah letih di set ketiga," katanya. Seorang lagi perseorangan lelaki negara Tan Jia Wei juga mara ke pusingan kedua apabila menang ke atas pemain Serbia Dragoslav Petrovic 21-12, 21-9.