suria

Pacman Kembali Merampas Tali Pinggang Welterweight Dunia

Pacman (kanan) melayangkan satu tumbukan padu ke arah Tim Bradley dalam perlawanan menentukan juara Welterweight Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat pada malam Sabtu.

PENINJU Filipina, Manny Pacquiao kembali sebagai juara Welterweight dunia pada Sabtu selepas beliau menumpaskan juara bertahan Tim Bradley pada kiraan mata 119-109 dalam perlawanan yang berlangsung di MGM Grand Arena, Las Vegas. Pacquiao tewas di tangan Bradley dua tahun lalu.

Kemenangan itu membolehkan Pacquiao memungut AS$20 juta - menjadikannya salah seorang penerima ganjaran terbesar dalam sejarah tinju dunia.

Jumlah bayaran tempahan televisyen daripada orang ramai untuk menyaksikan Pacquiao bertarung sepanjang kariernya kini telah mencecah AS$700 juta. 

Maka tidak hairankah promoter perlawanan ini tidak berasa ragu-ragu untuk membayarnya AS$20 juta untuk kembali bertarung kerana dia adalah daya penarik terbesar tinju dunia buat masa ini. 

Sementara itu Bradley, peninju Amerika yang sebelum ini berkata yang dia adalah jauh lebih baik dari Pacquiao akhirnya mengakui kehebatan lawannya.

"Manny telah memenangi pertaruhan ini tanpa ragu-ragu lagi. Dia memang bagus dia memang hebat. Mungkin salah seorang yang terhebat sepanjang zaman. Bukan saya tidak cuba...saya telah cuba atasinya, tetapi hakikatnya saya tumpas di tangan seorang yang memang hebat," kata Bradley.

Malah Bradley memohon maaf kepada Pacman di atas hantukan kepalanya yang menyebabkan kening lawannya itu berdarah.

Dia hanya berjaya menang satu daripada 12 pusingan yang dipertandingkan.

Terdapat 96,000 Filipina yang bekerja di Vegas dan suasana di dalam Grand Arena seolah-olah seluruh stadium itu dipenuhi oleh warga Filipina.

Pacquiao yang lebih dikenali sebagai Pacman dalam dunia tinju berazam untuk meneruskan karier tinjunya selama dua tahun lagi sebelum membuat keputusan muktamad samada bertanding kerusi presiden Filipina pada 2016.

Dia sebelum ini telah menyatakan hasratnya bertanding jawatan itu selepas menamatkan karier sebagai ahli tinju.

Filipina tidak asing dengan selebriti menyertai politik.

Pelakon veteran Joseph Estrada telah bertanding dan menang kerusi tersebut sebelum disingkirkan atas dakwaan rasuah di awal tahun 1990an.

Artikel Sebelum

Artikel Lain