suria

Piala FA: Hull Cipta Sejarah Masuk Final Dalam 110 Tahun Kewujudan Mereka

Tom Huddlestone meraikan gol ketiga Hull City dalam perlawanan separuh akhir Piala FA Inggeris di antara Hull dengan Sheffield United di Stadium Wembley, London, Ahad yang berkesudahan Hull menang 5-3.

PEMINAT mereka berbelah bahagi sama ada perlu menukar nama kelab mereka daripada Hull City kepada Hull Tigers tetapi satu perkara yang pasti ialah mereka semua bersetuju untuk memanggil kelab mereka finalis Piala FA Inggeris - sesuatu yang tidak pernah mereka rasai atau nikmati dalam sejarah 110 tahun kewujudan kelab tersebut.

Hull melangkah ke final Piala FA tertua dunia dengan menumpaskan Sheffield United 5-3 dalam perlawanan penuh suspen, penuh dramatik dan penuh keterujaan di Stadium Wembley malam tadi.

Mereka akan bertemu Arsenal di final Mei nanti yang dahagakan trofi selepas lapan tahun kemarau sebarang kejuaraan.

Untuk seketika, Hull kelihatan seperti terpaksa melupakan lakaran sejarah tersebut apabila mereka ketinggalan 2-1.

Tetapi Hull kembali bertenaga pada separuh masa kedua dengan mencipta tiga gol dalam tempoh yang pantas.

Sheffield United juga hampir-hampir mencipta sejarah - mereka menumpaskan empat pasukan dari liga yang lebih atas dalam perjalanan ke separuh akhir dan jika mara ke final bakal menjadi pasukan yang pertama dari divisyen tiga untuk bermain dalam perlawanan akhir.

Dan mereka bermain tanpa gentar malah untuk beberapa ketika kelihatan seperti sedang membuli Hull yang merupakan pasukan dari Liga Perdana.

Pasukan ini yang diterajui oleh Nigel Clough iaitu anak kepada legenda bolasepak Inggeris Brian Clough telah menyuntik bukan sahaja semangat baru malah strategi yang lebih baik sejak mengambil alih pengurusan kelab ini Oktober lalu.

Steve Bruce yang juga seorang veteran Piala FA ketika era kegemilangannya bersama Manchester United menyedari yang pasukannya telah menjadi mangsa buli Sheffield lalu menurunkan dua penyerang dan pertukaran itu membawa perubahan segera dengan pemain yang dimasukkan itu Matty Fryatt, terus menjaringkan gol dengan serta merta.

Tom Huddlestone, yang dibeli dari Tottenham Hotspurs menjaringkan gol ketiga Hull lima minit kemudian.

Gol keempat Hull dijaringkan oleh pemain gantian ketiga iaitu Stephen Quinn, bekas pelatih Sheffield sendiri.

Sheffield United, bagaimanapun enggan mengaku kalah dan terus memberikan saingan sehingga ke minit-minit terakhir permainan. Mereka merapatkan jaringan pada minit ke-90 hanya untuk Hull membalas semula dua minit permainan memasuki masa tambahan sekaligus menamatkan permainan 5-3.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain