EVERTON gagal memanfaatkan peluang untuk merebut tempat keempat liga apabila tewas 2-3 kepada Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Khamis. Everton yang kini menduduki tangga kelima dengan perbezaan satu mata dengan Arsenal (66 mata) gagal mengekang serangan pemain lawan Jason Puncheon membuka jaringan pada minit ke-22. Scoot Dann menambah satu lagi gol minit ke-48 sebelum pemain tuan rumah, Steven Naismith menyumbat gol pertama untuk Toffees. Bagaimanapun Cameron Jerome memastikan kunjungan mereka ke Goodison Park tidak disia-siakan dengan mengukuhkan kedudukan gol ketiga pada minit ke- 72. Anak buah Roberto Martinez ini cuba bangkit, namun sudah terlewat untuk mencari mata penyamaan biarpun Kevin Mirallas berjaya menambah jaringan kedua Everton minit ke-85. Kemenangan ini meletakkan Crystal Palace di kedudukan yang ke-11, posisi yang selamat daripada zon penyingkiran. Manakala keputusan ini juga pastinya memberi sedikit memberi kelegaan kepada Arsenal yang kini menduduki tangga keempat, peluang untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.