KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad mengingatkan atlet olahraga yang sudah melayakkan diri ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland agar terus mengekalkan prestasi. Ini kerana katanya hanya yang terbaik akan mewakili negara ke temasya berkenaan dan senarai akhir diputuskan dalam tempoh beberapa minggu sebelum sukan itu bermula pada Julai nanti. "Walaupun mereka sudah melayakkan diri ke Sukan Komanwel, kita masih akan membuat penilaian ke atas mereka, mungkin dalam tempoh tiga minggu sebelum temasya berkenaan membuka tirai," katanya. Empat atlet negara sudah menempah slot ke Sukan Komanwe1 selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika Sukan SEA 2013 di Myanmar iaitu atlet lompat tinggi Nauraj Singh Radhawa , Muhammad Irfan Shamsudin (lempar cakera), Adi Alifuddin Hussin (lontar peluru) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang lelaki). Zainal Abidin berkata 16 atlet negara yang masih belum layak ke temasya itu berpeluang meraih slot menerusi Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand yang bakal berlangsung 6 hingga Mei ini. "Kita berharap 16 atlet berkenaan menggunakan peluang sebaik mungkin pada kejohanan ini untuk meraih tiket ke Sukan Komanwel. "Sekiranya mereka masih gagal, terdapat beberapa kejohanan kelayakan selepas ini namun saya tidak boleh pastikan kerana ia perlu mendapat pengiktirafan penganjur (Sukan Komanwel)," kata Zainal Abidin. Beliau juga berkata pihaknya tidak meletakkan sasaran pingat sebaliknya menuntut atlet yang terpilih mempamerkan prestasi cemerlang. "...cukup sekadar mereka layak ke final dalam sesebuah acara. Yang penting, atlet yang beraksi buat kali pertama dapat meraih pengalaman berguna," katanya. Pencapaian terbaik skuad olahraga negara ialah menerusi S. Govindasamy yang meraih pingat emas dalam acara 50km jalan kaki lelaki pada Sukan Komanwel 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.