AKHBAR The Guardian melaporkan yang Sir Alex Ferguson akan tetap dirujuk dalam proses mencari penganti pengurus yang dipecat David Moyes walaupun hirarki Manchester United menyedari hakikat yang beliau bertanggungjawab memilih calon yang silap sebagai pengantinya setahun yang lalu. Menurut akhbar itu, United sebenarnya sedang menimbang untuk memilih sama ada Pengurus Belanda, Louis van Gaal atau Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti untuk mengantikan Moyes yang dipecat awal pagi Selasa - sehari selepas kelab itu tewas di tangan Everton 2-0 - iaitu kekalahan yang ke-11 dalam liga musim ini. Di samping mereka, United juga dilaporkan sedang menimbang Diego Simeone, pengurus Atlético Madrid. Pengurusan United selepas berunding dengan Ferguson juga dikatakan membuat rumusan bahawa pengurus interim, Ryan Giggs, masih terlalu muda untuk menanggung beban ini walaupun beliau berjaya mengharungi empat lagi baki perlawanan musim ini dengan cemerlang. Seorang lagi calon, iaitu bekas pemain bek United dari Perancis, Laurent Blanc yang kini memimpin Paris Saint-Germain juga dilihat terlalu kerdil walaupun beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Ferguson. Bagaimanapun, United kali ini berpendirian tegas bahawa orang yang mempunyai kata putus terakhir tentang pelantikan pengurus baru jatuh di bahu Ed Woodward, iaitu ketua pegawai eksekutif kelab dan bukannya Ferguson lagi. Ferguson bagaimanapun akan tetap dirujuk dan diambil pandangannya kerana United beranggapan adalah sesuatu yang tidak masuk akal jika pengurus berpengalaman luas sepertinya tidak dirujuk langsung walaupun kini mereka menerima hakikat yang Ferguson bertanggungjawab membuat pertimbangan yang salah dengan memilih Moyes sedangkan pada masa itu José Mourinho masih belum terikat dengan Chelsea. Anggota pengarah United berpendapat, adalah membuang masa dan tenaga untuk memujuk Mourinho meninggalkan Chelsea sekarang dan berpindah ke Manchester. Sebaliknya adalah lebih bermanfaat sekiranya mereka cuba berunding dengan Ancelotti dan juga Van Gaal yang sudahpun mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan Belanda sebaik sahaja tamat Piala Dunia Jun nanti untuk kembali kepada pengurusan kelab semula. United menerima hakikat bahawa jumlah calon yang ada tidaklah banyak kerana sebahagian besarnya komited untuk menyaksikan kontrak mereka di kelab masing-masing dihormati. Jürgen Klopp misalnya menegaskan yang dia tidak mahu meninggalkan Borussia Dortmund dan walaupun Pengurus Juventus, Antonio Conte, khabarnya sedang mempelajari bahasa Inggeris dengan hasrat peluangnya untuk mengurus sebuah kelab Inggeris menjadi semakin cerah, namun namanya tidak begitu menarik minat United. Tetapi Ferguson memang mempunyai hubungan yang akrab dengan Ancelotti dan sama ada United secara serius mahu menimbang dia sebagai calon akan banyak bergantung kepada sejauh manakah pencapaian Real Madrid di penghujung musim ini. Kelab itu kini berada di kedudukan ketiga liga dan masih lagi beraksi di peringkat separuh akhir Piala Juara-Juara. Sekurang-kurangnya dia telah pun membawa pulang sebuah piala ke Madrid iaitu Copa del Rey minggu lalu. Masalah besar United sekarang ialah, jika mereka tidak memilih Ancelotti dan memilih Van Gaal, dia hanya bebas daripada sebarang komitmen lain menjelang pertengahan Julai dan bulan tersebut boleh dianggap sebagai terlalu lewat untuk membuat persediaan rapi dan menyusun strategi membeli pemain baru untuk musim baru. Namun begitu, pengurus veteran berusia 62 tahun itu mempunyai CV yang menarik dan cemerlang - menang kejuaraan liga di kesemua kelab yang disertainya. Yang terakhir ialah bersama Bayern Munich pada 2010. Menurut The Guardian, adalah tidak benar yang pengurusan tertinggi United telah pun bertemu dengan van Gaal untuk berunding terma-terma pelantikan. Proses untuk bertemu dan berunding dengan calon-calon yang berpotensi hanya akan dilakukan beberapa minggu dari sekarang dan salah satu sebab mengapa Moyes terpaksa dipecat sekarang dan bukannya selepas musim ini tamat adalah kerana pihak kelab tidak mahu berada di dalam situasi melakukan sesuatu di belakangnya ketika beliau masih lagi berkhidmat sebagai pengurus United dan terpaksa menanggung malu sekiranya rundingan itu bocor dan jatuh di tangan media sebagaimana yang telah berlaku kepada Manchester City apabila mereka berunding dengan Manuel Pellegrini sewaktu Roberto Mancini masih lagi pengurus mereka. United menurut The Guardian menerima hakikat bahawa melantik seorang tanpa pengalaman memenangi sebarang trofi sepertimana Moyes adalah satu kesilapan paling besar yang tidak boleh diulangi lagi. Kedudukan United sebagai sebuah kelab gergasi tidak sama lagi dengan situasi ketika Ferguson mengambil alih jawatan pengurus 26 tahun yang lalu. Keputusan untuk memecat Moyes, jelas The Guardian, diambil dalam satu pertemuan pengurusan tertinggi United yang melibatkan Woodward, wakil keluarga Glazers iaitu pemegang saham terbesar kelab itu, Ferguson dan beberapa lagi anggota lembaga pengarah pada malam Ahad iaitu hari United tewas kepada Everton. Mereka kemudiannya bersetuju untuk menyambung perbincangan mereka pada pagi Isnin, tetapi adalah jelas bahawa keputusan konsensus ialah Moyes mestilah diberhentikan tanpa berlengah-lengah lagi. Dalam pertemuan itu, Ferguson telah ditanya mengenai keputusan majoriti untuk berpisah dengan Moyes malah sebahagian besar daripada mereka menyatakan yang mereka telah pun hilang kepercayaan ke atas Moyes sejak Februari lagi. Ferguson tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa bersetuju dengan keputusan majoriti. Moyes mengetahui mengenai nasibnya apabila beberapa media berpengaruh seperti The Guardian dan The Mail Online mula memaparkan laporan mengenai keputusan lembaga pengarah United untuk memecatnya pada Isnin. Dia kemudiannya bertemu dengan pegawai media kelab, Karen Shotbolt. Dan pada Selasa seawal jam 8 pagi, Woodward sendiri telah bersemuka dengan Moyes dan mengumumkan keputusan mereka untuk memecatnya. Ryan Giggs dipanggil ke Carrington iaitu Ibu Pejabat dan Pusat Latihan United untuk memaklumkan kepadanya yang dia kini adalah pengurus interim sehingga baki empat perlawanan lagi selesai dan pada masa yang sama Richard Bevan, ketua pegawai eksekutif Persatuan Pengurus-Pengurus Liga turut dipanggil ke Carrington untuk membincangkan terma-terma dan pakej pampasan kepada Moyes. Untuk rekod, Moyes menandatangani kontrak enam tahun bersama United. Beliau hanya bertahan 10 bulan dan baki kontrak selama lima tahun lagi perlu dilangsaikan dalam bentuk pampasan.