suria

Bekas Pengurus Barca, Vilanova Meninggal Dunia Akibat Kanser

Vilanova.

BEKAS pengurus pasukan Barcelona, Tito Vilanova meninggal dunia pada usia 45 tahun selepas beberapa tahun bertarung dengan penyakit kanser tekak, umum  kelab berkenaan pada Jumaat. 

Beliau mengambil alih pengurusan pasukan ini pada musim 2012-2013 dari tangan Pep Guardiola dan membantu Barca meraih tiga gelaran iaitu La Liga dan dua Liga Juara-Juara Eropah pada 2009 dan 2011. 

Pada Disember 2012, Vilanova didiagnos menghidap kanser kali kedua. 

Pada akhir musim, Vilanova kemudiannya mengumumkan peletakkan jawatannya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rawatan kimoterapi di New York.

"Tito Vilanova meninggal dunia pada tengah hari ini (Jumaat) pada usia 45 tahun. Selepas hampir tiga tahun dia menghidap penyakit kanser," kata Barcelona dalam satu kenyataan.

"Kelab ini melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mendiang dan peminat-peminat Barcelona di seluruh dunia," kata kenyataan itu lagi.

"Tito orang pertama yang percaya kepada kebolehan saya," kata Lionel Messi yang merupakan pemain terbaik dunia sebanyak empat kali.

Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), Michel Platini, turut melahirkan kesedihan di atas kematian Tito.

"Saya sangat sedih mendengar berita Tito Vilanova telah meninggal dunia.

"Dia seorang yang sangat baik dan hebat. Mendiang akan sentiasa dikenang sebagai seorang yang bekerja keras untuk pasukan Barcelona. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tito dan kelabnya," kata bekas kapten pasukan Perancis itu sebagaimana yang dipetik oleh www.uefa.com.

Vilanova, Barcelona

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain