suria

Rebut Peluang Berlatih Bola Sepak Di Munich

KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Berhad (AMB) mempelawa pemain muda tempatan untuk menyertai edisi ketiga Kem Bolasepak Remaja Allianz Malaysia (AJFC) dan merebut peluang mengikuti Kem Remaja Antarabangsa Keenam di Munich, Jerman dari 20 hingga 25 Ogos ini.

Pemain muda termasuk pemain wanita berusia 14 dan 16 tahun yang berdaftar atas talian menerusi Facebook AMD di www.facebook.com/AllianzMalaysia sebelum 31 Mei ini akan dipanggil untuk ujian pemilihan.

Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Jens Reisch berkata pihaknya akan menghantar tiga pemain ke Munich manakala sembilan pemain akan dihantar ke AJFC Asia di Bali, Indonesia dari 1 hingga 4 Ogos ini.

"Semasa di Munich, pemain muda bola sepak akan mendapat peluang sekali seumur hidup untuk bertemu dengan bintang kelab Bayern Munich FC serta mengikuti latihan dengan jurulatih kelab tersebut serta menyaksikan perlawanan kelab Bayern Munich," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata sesi pemilihan akan dijalankan oleh bekas jurulatih kebangsaan B. Sathianathan bersama bekas pemain kebangsaan, Shahrin Majid dan Rusdi Suparman di Padang SUK, Shah Alam pada 6 dan 7 Jun ini.

Tahun lepas, lebih 2,900 pemain muda berdaftar untuk kem AJFC dan lebih 1,200 hadir untuk sesi pemilihan.


Munich, Allianz

Artikel Lain