KUALA LUMPUR: Penerjun negara Pandelela dan Leong MunYee berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama pada pusingan keempat Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 di Moscow, Russia, Jumaat. Gandingan negara itu, yang gagal memburu pingat pada pusingan ketiga diLondon, Isnin lepas, meraih 310.26 mata untuk menduduki tempat ketiga, menurut laman sesawang Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) www.fina.org. Gandingan emas Sukan Olimpik London 2012, Chen Ruolin dan Liu Huixia dari China terus menguasai acara itu selepas mengumpul 332.28 mata diikuti pasangan Korea Utara, Choe Kyong Un dan Song Nam Hyang dengan 314.82 mata untuk pingat perak. Dalam pada itu, dua lagi pasangan negara - Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman akan bersaing dalam acara tiga meter papan anjal seirama lelaki serta pasangan Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee dalam acara sama kategori wanita, lewat petang Jumaat.