suria

Ragbi Sasar Pingat Gangsa Sukan Asia 2014

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mensasarkan skuad negara mampu memperoleh sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Sukan Asia 2014, di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Setiausaha Kehormatnya, M. Suhaimi Zainuddin berkata, sasaran itu adalah realistik untuk dicapai memandangkan skuad negara mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk muncul Naib Juara Divisyen Dua di belakang Singapura pada Kejohanan Ragbi Asia HSBC Tujuh Sebelah , tahun lalu.

"Secara purata, Malaysia berada pada tangga keempat dan kelima ranking Asia dan melalui pencapaian ini, kita yakin dengan potensi skuad kebangsaan untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa di Incheon nanti," katanya, di sini, Jumaat.

M. Suhaimi berkata, skuad negara akan menyertai dua pusingan Kejohanan Ragbi Asia HSBC Tujuh Sebelah iaitu di Hong Kong daripada 23 hingga 24 Ogos dan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya daripada 6 hingga 7 September ini sebagai persediaan sebelum menghadapi Sukan Asia.

"Kita harap skuad ragbi negara dapat menggunakan peluang beraksi dalam dua kejohanan ini sebagai pentas terbaik untuk memperkemaskan permainan sebelum beraksi di Sukan Asia nanti," katanya.

Dalam pada itu, M. Suhaimi berkata, badan induk ragbi negara itu akan menggantikan pemain yang tercedera dengan pemain yang baharu bagi memastikan persiapan skuad negara ke Sukan Asia tidak terjejas.

"Kalau ada pemain yang mempamerkan aksi yang cemerlang pada kejohanan tempatan anjuran KRM dalam tempoh terdekat, kita bakal mempertimbangkan mereka untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan," katanya.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat dalam acara ragbi pada Sukan Asia sejak ia diperkenalkan pada edisi 1998 di Bangkok, Thailand.


Artikel Sebelum

Artikel Lain