MELAKA: Melaka menyasarkan 25 pingat emas daripada 356 pingat emas dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 di Perlis dari 24 Mei hingga 4 Jun ini. Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata antara acara berpotensi tinggi menjadi lubuk emas bagi kontinjen negeri Hang Tuah ialah wushu, memanah, perahu layar, pencak silat, berbasikal, olahraga, golf dan badminton. "Saya percaya atlet kita mampu mencapai sasaran ini...apa yang penting sekarang semua atlet Melaka membuktikan mereka setanding dengan atlet negeri lain...sekarang masa kita buktikan kita mampu memburu kemenangan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka kepada Ketua Kontinjen Sukma Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim di sini, Ahad. Idris berkata kerajaan negeri bercadang memberi imbuhan bagi membakar semangat atlet untuk membawa pulang pingat iaitu bagi acara berpasukan sebanyak RM10,000 untuk pingat emas; perak RM5,000; dan gangsa RM3,000 manakala bagi individu sebanyak RM3,000 bagi pingat emas; perak RM2,000; dan gangsa RM1,000. Ketua Menteri turut mengingatkan atlet supaya sentiasa menjaga disiplin sama ada ketika berada dalam atau luar kawasan pertandingan bagi memastikan nama negeri Melaka sentiasa terjaga. "Tatacara dan disiplin cukup penting untuk setiap atlet kita bagi membuktikan bahawa orang Melaka punyai semangat kesukanan paling tinggi," katanya. Melaka akan menghantar seramai 293 atlet yang bakal menyertai 21 acara sukan pada temasya itu.