PEMAIN tenis nombor sembilan dunia, Maria Sharapova muncul juara Terbuka Madrid pada Ahad selepas tewas teruk 1-6 dalam set pertama kepada Simona Halep. Untuk setengah jam yang pertama Sharapova tiada jawapan kepada permainan kemas pemain nombor empat dunia dari Romania itu tetapi dia bangkit dalam set kedua untuk menang 6-2 dan kemudiannya mengekalkan rentak yang sama untuk menang di set ketiga 6-3. Pemain dari Rusia itu terpaksa mendapatkan panduan daripada pengurusnya, Sven Groeneveld ketika set pertama sedang berlangsung untuk mencari jalan keluar kepada masalah rentak dan tempo yang serba tidak kena yang dihadapinya itu. Tetapi sebaik sahaja set kedua bermula, Sharapova kembali mengancam dan sebaik sahaja dia menguasai gelanggang, Simona bukan lagi lawannya. Sharapova kini menang tujuh daripada sembilan kejuaraan terbarunya di atas tanah liat - satu perkembangan baru yang menarik dalam kariernya sejak menjadi pemain pro pada 2001. Simona Halep, yang kini merupakan satu-satunya pemain dalam sirkit wanita yang memperlihatkan peningkatan yang mendadak yang membolehkannya menduduki ranking keempat dunia dari tangga ke-64 tahun lalu, sekadar boleh berpuashati dengan gelaran naib juara di sini. Halep telah memenangi tujuh kejuaraan sejak 12 bulan yang lalu tetapi ini adalah finalnya yang pertama dalam kejohanan bertaraf lima bintang dalam sirkit WTA. Bagi Sharapova pula, ini adalah kemenangan keduanya berturut-turut selepas memenangi Terbuka Stuttgart dua minggu lalu.