PENGURUS sementara Manchester United, Ryan Giggs mendesak pasukannya supaya segera mengumumkan nama pengurus baharu dan selepas itu beliau akan memutuskan mengenai rancangan masa depannya. Kontrak Ryan Giggs sebagai pengurus sementara Manchester United berakhir sejajar dengan tamatnya musim 2013/2014. Banyak pihak mendakwa pemain kelahiran Wales itu layak mendapat jawatan sebagai pengurus pasukan itu yang tetap. Selain itu, nama jurulatih skuad kebangsaan Belanda, Louis van Gaal turut disebut-sebut sebagai pengurus baharu bagi pasukan The Red Devils itu. Oleh itu, Giggs mendesak supaya pihak kelab mengumumkan nama pengurus baharu agar memudahkannya menentukan rancangan masa depannya di Old Trafford. "Saya fikir, situasi berkaitan dengan pengurus pasukan ini akan diselesaikan dalam waktu terdekat. Selepas itu, barulah saya akan memikirkan kedudukan saya, dan memutuskan apa yang akan saya lakukan seterusnya," kata Giggs. "Apakah saya akan terus bermain atau tidak? Apakah saya akan menjadi pegawai jurulatih atau tidak? Posisi apa yang akan diberikan kepada saya atau mungkin saya akan berehat dari arena bola sepak selama setahun? Semua ini adalah pilihan yang ada dan saya perlu memutuskannya. Semula adalah pilihan terbuka untuk saya," kata pemain yang berusia 40 tahun itu.