PENYERANG Argentina, Sergio Aguero percaya pasukan dari Amerika Latin mempunyai kelebihan pada saingan Piala Dunia di Brazil kali ini. Barisan pemain dibawah kendalian pengurus Argentina, Alejandro Sabella merupakan skuad yang dijangka memenangi gelaran juara walaupun kali terakhir pasukan itu membawa pulang piala berprestij berkenaan adalah pada 1986. Argentina diundi berada dalam kumpulan F bersama Bosnia-Herzegovina, Nigeria dan Iran. "Saya rasa pasukan yang bermain di benua sendiri mempunyai kelebihan dan jelas sekali Brazil mempunyai kelebihan terbesar kerana bermain di gelanggang sendiri. "Malah cuaca dan stadium di sana berbeza dengan negara di Eropah, jadi mungkin ianya akan memberi kelebihan kepada pasukan Amerika Latin. "Tetapi setiap perlawanan adalah sukar dan dalam Piala Dunia semua pasukan akan mempamerkan kekuatan sebenar di atas padang. Oleh itu, jika anda tidak bersedia untuk setiap negara seperti Bosnia dan Nigeria, mereka akan mengecewakan anda," katanya. Argentina akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Bosnia-Herzegovina di Rio de Janeiro pada 15 Jun.