suria

Skuasy HKFC 2014: Tiga Wakil Malaysia Di Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Tiga pemain negara melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy Antarabangsa Hong Kong Football Club (HKFC) 2014 di gelanggang HKFC, Hong Kong, hari ini.

Pemain veteran negara Ong Beng Hee, selaku pilihan ketiga, menewaskan rakan senegara Elvin Keo 11-7, 11-4 dan 11-6 pada pusingan pertama untuk bertemu dengan pemain Finland Henrik Mustonen.

Pemain Finland itu menempah tiket suku akhir selepas menyingkirkan pemain Amerika Syarikat, Chris Gordon 11-6, 11-5 dan 11-4 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama.

Pemain nombor dua negara, Mohd Nafiizwan Adnan turut melangkah ke suku akhir selepas bertarung selama 61 minit sebelum mengalahkan pemain dari pusingan kelayakan, Tayyab Aslam dari Pakistan dengan 15-13, 9-11, 11-5 dan 11-8.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain lelaki negara, Ivan Yuen tersingkir selepas kalah kepada pemain pilihan kedua, Adrian Grant dari England dengan 5-11, 4-11 dan 8-11.

Dalam acara wanita, wakil tunggal negara Delia Arnold melakukan kejutan besar dengan menumpaskan pemain pilihan kelapan, Aisling Blake dari Ireland dengan 11-6, 12-14, 11-6 dan 11-7.

Bagaimanapun, Delia bakal berdepan dengan laluan getir apabila bertemu dengan pemain pilihan keempat, Nicolette Fernandes dari Guyana, pada saingan suku akhir.

Pemenang pusingan pertama layak ke suku akhir esok.

Ong Bee Hee, skuasy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain