suria

Tiada Hadiah Hari Lahir, Yaya Toure Merajuk Mahu Tinggalkan City

GARA-GARA hari lahirnya didakwa tidak dihargai Manchester City, Yaya Toure kini dilaporkan bersedia untuk meninggalkan kelab tersebut dan kembali ke Barcelona.

Tindakan itu juga bukan satu ugutan untuk meraih kenaikkan gaji tetapi pemain tengah terbabit nekad untuk berhijrah pada musim panas ini.

Amaran mengenai perpindahan Toure diumum sendiri oleh ejennya, Dimitry Seluk selepas kedua-dua mereka tidak berpuas hati dengan layanan City terhadap bintang yang berjaya membawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris kepada kelab baru-baru ini.

City pada selasa telah membuat kejutan dengan menyediakan dua biji kek buat Toure iaitu di dalam pesawat ketika mereka ke Abu Dhabi dan di hotel sejurus tiba.

Tidak cukup dengan kek, kelab berkenaan turut mengumumkan secara rasmi hari lahir Toure di laman sosial, Facebook City yang mendapat 'like' tertinggi iaitu sebanyak 250,000.

Bagaimanapun, kek dan ucapan tersebut dianggap melukakan hati dan tidak mencukupi kerana pemain berkenaan mahukan hadiah yang lebih bernilai.

Seluk membandingkan kek dan ucapan tersebut dengan hadiah yang pernah diterima oleh pertahanan Brazil, Roberto Carlos yang diberikan sebuah kereta mewah Bugatti Veyron oleh kelabnya, Anzhi Makhachkala semasa menyambut ulang tahun ke-38 pemain berkenaan pada 2011.

Seluk menegaskan, Toure kini berada dalam keadaan 50-50 untuk keluar dari City selepas berpindah dari Barcelona dengan yuran sebanyak £24 juta.

Manchester City

Artikel Berikut

Artikel Lain