suria

Sukma: Siti Fatimah Raih Emas Pertama Kedah

Mohd Zulhafiz(kanan) dan Siti Fatimah (kiri) meraikan kejayaan mereka dalam acara berbasikal Cross Country Olympic (XCO) lelaki dan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke- 17 di Ulu Pauh, Isnin.

ARAU: Kemenangan pingat emas menjadi suatu yang bermaknabuat Siti Fatimah Ismail pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Perlis pada Isnin.

Atlet berusia 21 tahun dari Alor Setar, Kedah itu berjaya menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Kedah pada temasya kali ini melalui acara merentas desa basikal bukit (MTB) wanita yang berlangsung di Pauh Putra, Ulu Pauh.

Siti Fatimah menamatkan saingan sejauh 19.90km itu dengan catatan masa sejam, 12 minit dan 26 saat dan ketinggalan hanya 30 saat di belakang dia adalah rakan sepasukan, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, 1:12.56s, manakala pingat gangsa menjadi milik Noor Fadilah Saiedin dari Sarawak dengan masa1:14.31s.

"Walaupun Kedah agak kurang menyerlah dalam acara ini dan sandaran kami,Mardiana Mohd Radzi pula tercedera semasa menyertai acara BMX pada Ahad.

"Saya dan Adibah (Siti Nur Adibah Akma) tidak patah semangat dan berusaha keras untuk memberikan saingan yang terbaik. Saya bersyukur dengan kemenangan ini," kata Siti Fatimah, yang akan meneruskan saingan Sukma Perlis dalam acara berbasikal lebuh raya pula selepas ini.

Dalam kategori lelaki pula, pelumba Terengganu, Mohd Zulhafiz Saipuddin mendominasi perlumbaan sejak awal untuk muncul juara. Dalam perlumbaan sejauh 27.86km itu, dia berjaya mencatat masa 1:20:11s dan diikuti Alvin Leong Vui Chung (Sabah) dan Garry Tay Yuan Swee (Sarawak),masing-masing dengan catatan masa 1:23:41s dan 1:25:22s. 

"Saya sememangnya menyasarkan pingat emas acara ini selepas gagal meraihnya pada temasya Sukma Pahang pada 2012. Strategi saya dari awal adalah untuk berada di hadapan kelompok pelumba-pelumba lain dan saya berjaya melakukannya.

"Trek di sini agak sukar dan jika persediaan mental tidak kuat, susah untuk menguasai perlumbaan. Sebagai persiapan untuk Sukma kali ini, saya dibawa menjalani latihan selama sebulan di Bandung, Indonesia," kata pelumba yang mewakili negara dalam acara yang sama di Sukan SEA Myanmar tahun lepas.

"Sasaran saya selepas ini adalah untuk sekali lagi mewakili negara pada Sukan SEA Singapura tahun depan," kata pelumba berusia 20 tahun itu, yang mula berjinak-jinak dengan acara berbasikal bukit pada usia 14 tahun.

Pada temasya Sukma Pahang dua tahun lepas, Mohd Zulhafiz sekadar meraih pingat gangsa.

Artikel Lain