CHELSEA mengesahkan yang mereka telah mencapai persetujuan dengan Atletico Madrid untuk membawa pulang bekas pemain mereka Tiago musim depan. Pemain pertahanan antarabangsa Portugal berusia 33 tahun itu adalah pemain regular Atletico tetapi kontraknya tidak disambung untuk musim akan datang. Dia bermain dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan Real Madrid menumpaskan juara La Liga itu 4-1 dalam waktu tambahan masa setelah terikat 1-1 selepas 90 minit permainan berakhir. Tiago pernah bermain di bawah Jose Mourinho ketika pengurus itu pertama kali mengurus Chelsea dahulu. Mourinho sebelum ini telah pun membentangkan tawaran sebanyak £38 juta kepada rakan sepasukan Tiago, Diego Costa dan kembalinya Tiago ke Chelsea dilihat akan dapat membantu Costa menyesuaikan diri dengan segera di London. Atletico melepaskan Tiago untuk membuka laluan kepada pemain muda berusia 19 tahun, Saul Niguez yang dijadualkan kembali ke Atletico selepas dipinjamkan kepada Rayo Vallecano musim lalu. Chelsea perlu memperkukuhkan barisan pertahanan mereka selepas David Luiz dijual kepada juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada harga £50 juta - menjadikannya pemain pertahanan termahal di dunia.