PARIS: Roger Federer mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis dengan menewaskan pemain Argentina Diego Sebastian Schwartzman 6-3, 6-4, 6-4 pada Rabu. Federer, juara Terbuka Perancis 2009, tidak pernah melangkah kaki ke peringkat akhir Grand Slam sejak memenangi gelaran utama ke-17 di Wimbledon pada tahun 2012. Federer, pemain pilihan keempat telah bermain dalam dua kejohanan gelanggang tanah liat sebelum beraksi di Roland Garros. Dia mara ke perlawanan akhir di Monte Carlo tetapi kalah dalam pusingan pertama di Rome. Dia terlepas kejohanan di Madrid kerana menyambut kelahiran anak kembarnya, Leo dan Lenny. Pemain pilihan kedua, Novak Djokovic juga mara ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-1, 6-4, 6-2 ke atas pemain di ranking 42, Jeremy Chardy. Djokovic, pemilik enam trofi utama, tetapi tidak pernah menjadi juara di Roland Garros berusaha untuk menjuarai kejohanan Grand Slam. Dia sudah lima kali berjaya ke separuh akhir sejak tujuh tahun lalu di Paris, kalah kepada Rafael Nadal pada tahun 2012 di peringkat akhir. Sementara itu, pemain perseorangan wanita dan juara bertahan Serena Williams disingkirkan di Terbuka Perancis oleh pemain Sepanyol, Garbine Muguruza pada Rabu sekali gus menjadi kekalahan paling buruk bintang tenis itu di kejohanan Grand Slam. Pilihan utama itu tewas 6-2, 6-2 pada pusingan kedua kepada pemain nombor 35 dunia. Ia merupakan penyingkiran yang paling awal bagi juara bertahan di Roland Garros sejak 2005 apabila Anastasia Myskina Rusia tersingkir pada pusingan pertama. Dengan kekalahan Li Na pada pusingan pertama, Selasa, kekalahan Serena ini menandakan kali pertama dalam era kejohanan terbuka apabila dua pilihan utama gagal mara ke pusingan ketiga.