suria

Pakar Rumput Setuju Venue Final Piala FA Dipindah

Padang bola dibaik pulih menjelang perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
KUALA LUMPUR: Pakar rumput tempatan bersetuju dengan tindakan penganjur meminda venue perlawanan akhir Piala FA antara Felda United FC dan Pahang, Sabtu ini, dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam.
 
Perunding penjagaan rumput, Normas Yakin Md Arifin menyifatkan sebagai tepat keputusan Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2014 untuk meminda venue perlawanan disebabkan keadaan rumput di Stadium Bukit Jalil yang belum mencapai tahap kematangan sempurna.

Beliau berkata rumput yang masih belum mencapai tahap 'matang' tidak berupaya menerima tekanan daripada aktiviti padang yang lasak sehingga menyebabkannya rosak.

"Tahap pertumbuhan matang rumput tercapai apabila akar rumput cukup kukuh dan mampu menampung tekanan yang dikenakan," katanya.

Katanya, akar yang telah mencapai tahap matang mampu mencengkam tanah dengan lebih kuat serta tahan lasak. 

"Akar yang matang juga mampu menjalani proses baik pulih dengan lebih cepat apabila berlaku kerosakan pada permukaan rumput terbabit," jelas Normas. 

Beliau berkata secara purata rumput akan mencapai tahap matang selepas ditanam dalam tempoh tiga hingga enam bulan, namun ini bergantung kepada cara penjagaan.

Tambahnya, asas kepada proses pertumbuhan rumput yang baik adalah apabila rumput yang ditanam mendapat air dan cahaya yang cukup.

Perbadanan Stadium Malaysia memaklumkan semalam bahawa ia telah mengambil langkah menggunakan kaedah 'grow light', iaitu memasang lampu LED di tempat-tempat tertentu sebagai mengatasi masalah kekurangan cahaya berikutan keadaan bumbung stadium yang menghalang cahaya.

Mengulas perkara itu, Normas berkata penggunaan lampu khas yang bertindak sebagai pembekal cahaya tiruan sangat membantu dan akan mengalakkan proses fotosintesis berlaku dengan lebih mudah hingga seterusnya mempercepat kematangan akar rumput.

Pahang mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 2-1 ke atas finalis musim lepas, Johor Darul Ta'zim, sementara Felda United pula ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan selepas terikat dengan keputusan agregat 5-5, menerusi dua aksi separuh akhir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain