suria

Amirul Hafiq Azam Bangkit Semula Pada GP Catalunya

Amirul Hafiq mahu lebih menyerlah di GP Catalunya.
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Amirul Hafiq Mohd Azmi berazam mahu menebus kekecewaan apabila bersaing pada perlumbaan pusingan ketujuh MotoGP Dunia pada Grand Prix (GP) Catalunya, Sepanyol, 15 Jun ini.

Pelumba remaja berusia 17 tahun itu gagal menamatkan saingan pada GP Itali apabila terbabit dalam kemalangan pada pusingan akhir di Litar Mugello, Ahad lalu.

"Saya harap untuk terus belajar dan semakin baik dalam beberapa perlumbaan baru-baru ini. Saya arif dengan trek di Catalunya dan berharap untuk mencapai keputusan yang baik," kata pelumba pasukan SIC-Ajo dalam kenyataan di sini, Rabu.

Selepas GP Itali, Amirul Hafiq bersama beberapa pelumba lain melakukan sesi ujian sehari di litar berkenaan semalam, iaitu sesi ujian rasmi pertama sejak musim MotoGP Dunia bermula Mac lepas.

"Kami mencuba banyak benda dengan jentera. Walaupun tidak dapat menunggang dengan pantas berbanding hujung minggu lepas tetapi saya gembira kerana dapat melakukan banyak pusingan," katanya.

Pencapaian terbaik anak jati Kuala Lumpur itu ialah menduduki tangga ke-16 masing-masing pada GP Argentina (27 April) dan GP Perancis pada 18 Mei lalu.


 

Amirul Hafiq Mohd Azmi, Moto3

Artikel Lain