suria

Guintoli Raih Petak 'Superpole' Di Sepang

Pelumba Aprilia Racing Team Sylvain Guintoli ketika beraksi dalam Superpole 2 pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2014 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Sepang, Sabtu. -fotoBERNAMA
SEPANG: Pelumba Aprilla, Sylvain Guintoli merangkul kedudukan petak pertama kali kedua dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim 2014 selepas mencatat masa terpantas pada pusingan keenam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini Sabtu.

Pelumba Perancis berusia 32 tahun itu mengulangi pencapaian cemerlang dalam sesi ujian masa semalam selepas merekodkan masa dua minit 03.002 saat pada sesi kelayakan untuk menguasai grid 'Superpole'.

Guintoli berjaya mengatasi catatan masa pelumba Kawasaki, Tom Sykes dari Britain, yang juga juara bertahan, dengan hanya kelebihan 0.106 saat untuk memaksa Sykes bermula perlumbaan 30-pusingan esok di petak kedua.

Pelumba Itali, Davide Guigliano dari pasukan Ducati, turut memperbaiki catatan masa pada sesi ujian dengan mencatat masa 2'03.137s untuk bermula di petak ketiga.

Guintoli berkata beliau jatuh hati dengan Litar Sepang dan tidak sabar untuk perlumbaan esok walaupun terpaksa berlumba dalam cuaca panas mencecah 35 darjah Celcius.

"Saya menikmati sesi kelayakan yang hebat untuk meraih kedudukan petak utama buat kali kedua selepas pusingan kelima di Litar Donington Park, England 25 Mei lepas.

"Saya harap tuah akan berpihak kepada saya esok," kata Guintoli kepada pemberita selepas sesi kelayakan kategori 1000cc.

Sykes turut berkongsi pandangan Guintoli dan berharap dapat memperoleh keputusan baik pada saingan akhir esok.

"Litar ini adalah hebat dan ia adalah suatu keseronokan bagi saya untuk menunggang di sini," kata Sykes, 28, yang kini mendahului kejuaraan musim ini dengan 185 mata.

Sementara itu, pelumba wildcard tunggal negara Mohd Zaqhwan Zaidi menampilkan tunggangan cemerlang dalam penampilan sulung kategori Supersport 600cc dengan menduduki tempat ketujuh antara 23 pelumba.

"Saya memang terkejut untuk mendapat tempat ketujuh dan ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan kerana melakukan penyelarasan jentera dengan baik sekali.

"Saya berharap dapat menempatkan diri dalam kedudukan terbaik di hadapan penonton sendiri," kata pelumba berusia 18 tahun itu.

Dalam kategori tersebut, pelumba Perancis Jules Cluzel mengungguli sesi kelayaan selepas mencatat masa pantas 2'08.331s untuk bermula di petak pertama dalam perlumbaan 14-pusingan itu.

Mengiringi pelumba MV Augusta di barisan depan ialah pelumba Britain Kevn Coghland daripada pasukan DMC-Panavto Yamaha, yang menduduki petak kedua dengan catatan masa 2'08.424s.

Pendahulu musim ini, Michael van der mark daripada pasukan Pata Honda, merakamkan masa terpantas 2'08.961s untuk tempat ketiga dalam kedudukan grid.

Malaysia menjadi tuan rumah pusingan keenam daripada 14 pusingan kejuaraan dunia musim ini.
Sylvain Guintoli, Aprilla

Artikel Lain