suria

Terbuka Jepun: Chong Wei Mara Pusingan Ke-2

Datuk Lee Chong Wei
PEMAIN perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada Rabu mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain Taiwan, Shih Kuei Chun 21-15, 21-13.

Chong Wei akan beraksi pada Khamis, menentang pemain Jerman, Marc Zwiebler.

Seorang lagi pemain Malaysia, Chong Wei Feng membuat kejutan besar dengan menewaskan pilihan keenam, Son Wan Ho dari Korea Selatan 15-21, 21-17 dan 21-15 pada perlawanan yang berlarutan hingga 67 minit.

Wei Feng bagaimanapun akan berdepan laluan sukar pada pusingan kedua kerana akan menentang bekas pemain nombor dua dunia, Lin Dan dari China yang menewaskan rakan senegaranya, Xue Song; 21-15, 21-18.

Dalam acara beregu lelaki, pilihan ketujuh, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong terpaksa diheret ke rubber-set sebelum menjinakkan pasangan dari Hong Kong Chan Yun Lung dan Lee Chun Hei 12-21, 21-11 dan 24-22.

Hoon dan Tan akan bertemu pasangan beregu Thailand, Maneepong Jongjit dan Nipitphon Puangpuapech yang terpaksa bekerja keras untuk menumpaskan Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov dari Rusia 21-19,18-21 dan 23-21 pada satu lagi perlawanan pusingan pertama.

Goh V Shem dan Tan Boon Heong mencatatkan keputusan paling mengejutkan pada perlawanan pusingan pertama selepas menundukkan pilihan ketiga, Hiroyuki Endo dan Kenichi Hayakawa (Jepun) 21-13 and 21-11.

Pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei juga layak ke pusingan kedua apabila menewaskan beregu Jepun, Erika Aman dan Haruko Suzuki 12-21, 21-15 dan 21-16 pada perlawanan yang berlangsung selama 56 minit.

Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing menempah tiket ke pusingan selanjutnya selepas menundukkan pasangan Denmark, Anders Kristiansen dan Julie Houmann 21-18 dan 21-11 dalam acara beregu campuran.


Terbuka Jepun, Lee Chong Wei

Artikel Lain