suria

Man Utd Kempunan Athletic Bilbao Tiba-Tiba Tolak Tawaran £28.7 Juta Untuk Ander Herrera

Sekejap jadi sekejap tak jadi...perpindahan pemain Athletic Bilboa, Ander Herrera ke Manchester United terbantut selepas kelab lamanya enggan menerima tawaran bekas juara Liga Perdana Inggeris pada Khamis.

PADA ketika semua media Britain melaporkan yang Manchester United berjaya memperolehi khidmat pemain tengah Sepanyol, Ander Herrera dari Athletic Bilbao, pada harga £28.7 juta, tiba-tiba kelab Sepanyol itu pada Khamis muncul dengan kenyataan akhbar menyatakan mereka telah menolak tawaran tersebut kerana terlalu rendah.

United pada mulanya yakin yang mereka telah berjaya mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu kerana harga pembelian yang ditawarkan itu memenuhi kehendak syarat pembelian kontrak yang terkandung di dalam kontrak Herrera apatah lagi pemain tersebut sendiri sudah bersetuju secara prinsip untuk menyertai United.

Malah pemain itu dilaporkan telah pun berada di Ibu Pejabat United di Carrington, Manchester untuk melihat butiran terperinci kontrak peribadinya pada Rabu.

Bagaimanapun, Bilbao mengumumkan dalam laman web rasmi mereka yang mereka tidak berhasrat untuk menerima tawaran United.

"Athletic dengan ini ingin mengumumkan yang kami telah menolak tawaran yang dikemukakan oleh Manchester United FC, ke atas Ander Herrera pada harga Euro 36 juta," demikian menurut kenyataan ringkas yang dimuat naikkan dalam laman web kelab itu pagi Khamis.

Pemain itu disifatkan sebagai salah seorang pemain tengah yang kreatif dalam Liga Sepanyol dan berjaya mengemudi kelab tersebut ke tangga keempat pada musim ini. 

Tindakan yang diambil oleh Athletic Bilbao itu dipercayai ada kaitan dengan pembelian kontrak Herrera yang akan secara automatis meningkat kepada £32 juta jika dia dilepaskan menjelang 1 Julai yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi.


Artikel Lain